am@hmetro.com.my
Klang: Lima lelaki termasuk seorang warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes culik lelaki warga China berhampiran Plaza Tol Putrajaya, Lebuhraya Mex, pada 18 Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, empat suspek warga China ditahan reman sehingga 28 Oktober manakala warga tempatan ditahan sehingga 29 Oktober depan.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek menahan kenderaan e-hailing dinaiki mangsa yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang jam 7.30 pagi.
“Mangsa dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk pulang ke China.
“Bagaimanapun sebaik melepasi plaza tol Putrajaya, kenderaan dinaiki mangsa ditahan sebuah Toyota Velfire dan melarikannya,”
katanya pada sidang media selepas merasmikan Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selangor di Balai Polis Pandamaran, di sini, hari ini.
Hussein berkata, keesokan harinya, polis menangkap empat lelaki warga China sebelum menemui mangsa yang cedera kerana terjun bangunan ketika cuba melarikan diri.
Difahamkan, suspek mengurung mangsa di sebuah premis di Kuala Lumpur sebelum menghantar mangsa yang cedera ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Pada 22 Oktober pula, polis menangkap seorang lagi lelaki warga tempatan dan setakat ini, polis berjaya menangkap lima suspek yang terbabit dalam kes ini,” katanya.
Hussein berkata, siasatan mendapati motif penculikan adalah pemerasan terhadap keluarga mangsa yang kononnya mangsa berhutang dengan suspek dan meminta wang tebusan dianggarkan RM300,000.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini keluarga mangsa belum membayar wang tebusan itu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
“Polis masih menjalankan siasatan kerana ada beberapa individu sedang diburu berkait kes ini, selain mencari barang kes,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



