Los Angeles: Penganjur Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) merancang untuk menjadikan Cultural Olympiad sebagai platform bagi mengetengahkan kejiranan, artis tempatan dan komuniti imigran di bandar itu, menerusi pelbagai program seperti filem, makanan, fesyen, muzik, persembahan pentas dan seni visual, kata pegawai LA28.
Cultural Olympiad ialah program jangka panjang yang diwajibkan kepada setiap bandar tuan rumah Olimpik yang akan menggabungkan elemen sukan dan budaya sepanjang temasya berlangsung.
Menurut Pengarah Eksekutif Cultural Olympiad LA28, Nora Halpern, program itu akan dibangunkan bermula daripada komuniti akar umbi dan pihak penganjur sudah mengadakan pertemuan dengan lebih 300 organisasi seni tempatan sejak dua tahun lalu.
“Cultural Olympiad 2028 akan menjadi sambutan budaya yang dihasilkan oleh warga Los Angeles untuk Los Angeles sendiri dan kami akan mempersembahkannya kepada dunia,” katanya.
LA28 berkata, program itu akan memberi penekanan kepada akses lebih mudah untuk penduduk tempatan dan pelawat termasuk mereka yang tidak mempunyai tiket acara Olimpik.
Penganjur turut bercadang mengurangkan atau menghapuskan bayaran masuk bagi sebahagian program budaya, selain mengetengahkan acara percuma yang sudah sedia ada di seluruh kawasan Los Angeles.
Satu kalendar digital dan alat peta khas dijadual akan dilancarkan pada Januari 2028 bagi memudahkan orang ramai mencari acara budaya di seluruh kawasan Los Angeles sebelum, semasa dan selepas Olimpik berlangsung.
Platform itu dirancang untuk terus digunakan sebagai sumber rujukan bandar itu pada masa depan.
Pertubuhan dan organisasi seni pula boleh memohon mulai 2027 untuk mendapatkan pengiktirafan rasmi Cultural Olympiad secara percuma, sekali gus membolehkan acara mereka dipromosikan menerusi platform pemasaran LA28.
Selain itu, LA28 turut merancang menghasilkan 16 poster rasmi Cultural Olympiad, lapan untuk Olimpik dan lapan lagi untuk Paralimpik yang akan direka oleh artis tempatan dengan poster itu dijangka akan diperkenalkan pada Julai 2027.
Antara program dirancang termasuk wayang pacak, persembahan kebudayaan, pentas komuniti, pameran seni serta pelbagai aktiviti di taman dan ruang awam sekitar.
Pihak penganjur berkata, usaha itu akan memanfaatkan mercu tanda dan lokasi kejiranan di Los Angeles sambil mengetengahkan makanan tempatan, artis dan kumpulan budaya setempat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




