firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bagi menyemarakkan kembali sukan silat di negara ini, satu Kejuaraan Silat Terbuka Kebangsaan & Jemputan Antarabangsa 2024 bakal diadakan di Stadium Suka Menanti, di Alor Setar, Kedah dari 31 Oktober hingga 4 November ini.
Ia dianjurkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) bersama Pesaka Kedah dan Pertubuhan Silat Pusaka Gayong Malaysia.
Penaung Pesaka Kedah, Datuk Zuraidi Rahim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan penganjuran sukan mempertahankan diri yang sinonim dengan masyarakat Melayu kekal relevan.
“Menariknya kejohanan kali ini akan membabitkan penyertaan pesilat bermula dari usia lima dan enam tahun, selain beberapa negara Asean.
“Yang penting, program ini bakal melahirkan atlet pelapis akar umbi dan remaja menuju persiapan pasukan silat negara dan negeri menjelang Sukan Malaysia (Sukma) 2026 nanti,” katanya.
Untuk rekod, edisi pertama ini akan menyaksikan empat kategori dipertandingkan iaitu silat tanding terbuka dewasa, tanding remaja, tanding individu dan silat seni berkumpulan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




