Cunha anggap Old Trafford seperti padang permainan zaman kanak-kanak

Cunha anggap Old Trafford seperti padang permainan zaman kanak-kanak

Manchester: Penyerang baharu Manchester United, Matheus Cunha, mengakui Old Trafford bukanlah asing baginya, malah seolah-olah sudah bermain di sana sejak kecil, biarpun ini kali pertama secara rasmi menjadi ‘rumah’ buatnya.

Sehari selepas United mengesahkan perpindahan Cunha dari Wolverhampton Wanderers, pemain berusia 26 tahun itu mendedahkan bahawa dia membesar di bandar pantai Joao Pessoa di Brazil dengan impian bermain untuk United sejak kecil.

“Sukar untuk saya gambarkan perasaan ini,” kata Cunha kepada saluran dalaman kelab.

“Rumah saya tiada siaran Liga Perdana Inggeris (EPL). Rumah sepupu saya pun tiada.

“Hanya di rumah nenek kami boleh tonton Premier League, jadi setiap hujung minggu kami akan berkumpul di sana.

“Bila main bola dengan sepupu di jalanan, di pantai, atas padang berbatu, kami panggil padang tu ‘Old Trafford.’

“Jadi sekarang saya benar-benar di sini, sukar nak percaya. Sangat menyentuh hati.”

Cunha yang menjaringkan 15 gol EPL musim lalu untuk Wolves turut membantu Brazil layak ke Piala Dunia 2026 minggu ini apabila mencipta bantuan jaringan tunggal ketika menewaskan Paraguay 1-0.

Perpindahan ke Old Trafford sememangnya mencetuskan tanda tanya, memandangkan United hanya menamatkan musim lalu di tangga ke-15 liga dan gagal ke sebarang kejohanan Eropah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top