Kingston: Steve McClaren meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Jamaica susulan keputusan seri tanpa jaringan menentang Curacao, yang menjejaskan harapan mereka untuk layak ke Piala Dunia tahun depan di Amerika Utara.
Jamaica memerlukan kemenangan untuk mengesahkan tiket, namun percubaan mereka sekadar menggegar palang sebanyak tiga kali pada babak kedua, sementara Curacao bertahan untuk keputusan seri yang menyaksikan mereka negara terkecil pernah layak ke pusingan akhir Piala Dunia.
Pasukan bimbingan bekas jurulatih England itu menamatkan kempen di tempat kedua Kumpulan B kelayakan CONCACAF, meskipun muncul pilihan utama untuk mara.
Mereka masih berpeluang layak ke Piala Dunia 48 pasukan yang akan berlangsung di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat (AS), namun perlu melalui kejohanan playoff antara konfederasi pada Mac nanti, yang menyaksikan mereka bakal berdepan pasukan seperti Iraq dan DR Congo.
“Memimpin pasukan ini adalah antara penghormatan terbesar dalam karier saya. Tetapi bola sepak bergantung kepada keputusan dan malam ini kami gagal mencapai matlamat iaitu layak dari kumpulan ini,” kata McClaren kepada wartawan.
“Sebagai ketua, adalah tanggungjawab saya untuk tampil ke hadapan, mengambil akauntabiliti dan membuat keputusan demi kebaikan pasukan. Selepas berfikir panjang dan menilai secara jujur kedudukan kami serta hala tuju yang diperlukan, saya membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Jamaica.
“Ada masanya perkara terbaik yang boleh dilakukan seorang pemimpin ialah menyedari bila pasukan memerlukan suara baharu, tenaga segar dan perspektif berbeza untuk bergerak ke hadapan.” kata McClaren, yang pernah membimbing England pada 2007-08 sebelum dipecat selepas gagal layak ke Euro 2008.
Sejak membimbing Jamaica bermula Julai 2024, jurulatih berusia 64 tahun itu mengendalikan 24 perlawanan, dengan 13 kemenangan dan enam kekalahan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




