Curang berlaku sebab lelaki tidak pernah rasa cukup – Shahz Jaszle

Curang berlaku sebab lelaki tidak pernah rasa cukup – Shahz Jaszle

PETALING JAYA: Pelakon, Shahz Jaszle, berpendapat isu kecurangan dalam rumah tangga berlaku apabila lelaki mula merasa tidak cukup dengan apa yang dimiliki walaupun sudah mendapat pasangan yang baik.

Tambah Shahz atau Muhammad Shahrizal Jaszle Jasmin, 36, setiap perkahwinan pasti akan diuji namun penting bagi suami untuk menghargai dan mensyukuri pengorbanan yang telah dilakukan isteri.

“Sebagai suami, kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang kita dapat. Sebenarnya Allah hanya mahu beri ujian untuk kita melihat adakah kita berasa cukup? Curang juga berlaku kerana rasa tidak cukup. 

“Walaupun dikurniakan isteri yang sempurna, bantu urus hidup, pandai masak namun lelaki sebenarnya tidak pernah rasa puas,” katanya. 

Shah mengulas mengenai karakter Farouq lakonannya, iaitu seorang suami yang curang kepada isteri dalam cerita Seadanya Kita

Sementara itu, Shahz berkata, lelaki perlu merendahkan ego untuk memahami hati isteri sebelum menyesal melepaskan insan yang berharga dalam hidup.

“Nasihat saya, sebenarnya kita patut hargai apa yang kita ada sebelum terlambat. Kita hanya sedar sesuatu perkara itu tiada bila kita sudah kehilangan. Waktu itu, baru kita tersedar yang kita silap. Lelaki pula ego,” tambahnya.

Shah ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media dan tayangan perdana drama Seadanya Kita, baru-baru ini.

Bercerita lanjut mengenai drama tersebut, Shahz percaya isu kecurangan masih mendapat tempat dalam hati penonton memandangkan ia benar-benar terjadi dan kerap dikongsikan masyarakat 

“Drama sama juga macam lagu, kita suka sebab ia berkait rapat dengan kehidupan kita.

Namun cerita ini juga mahu menunjukkan masih wujud lelaki yang baik walaupun ia bukan Farouq. 

“Drama ini banyak memberi harapan kepada wanita di luar sana,” tambahnya.

Naskhah Seadanya Kita 15 episod ini menceritakan kisah cinta seorang ibu tunggal dengan bintang penyanyi rock yang mempunyai usia yang jauh berbeza.

Drama arahan Feroz Kader ini disiarkan menerusi platform Viu. -UTUSAN

 

Scroll to Top