Curi 68 kabel milik TM, 6 lelaki dipenjara 10 bulan

Curi 68 kabel milik TM, 6 lelaki dipenjara 10 bulan

am@hmetro.com.my

Georgetown: Enam pekerja kontrak sebuah syarikat swasta terpaksa menyambut Aidilfitri dalam penjara selepas Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas mereka yang mengaku bersalah mencuri 68 kabel milik TM Technology Service Sdn Bhd, Khamis lalu.

Mohd Fairus Jamaludin, 44, Moden Sarabi, 38, Muhammad Zol Fahami Ishak, 30, Mohamad Syarifuddin Mohamad Hasan, 33, Abdul Latef Mansor, 32 dan Muhd Phahrul Razi Muhammad Shahrin, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mencuri 68 batang kabel berwarna hitam berdiameter 5.08 sentimeter dan panjang kira-kira 0.61 meter di Jalan Utama Sungai Dua, Daerah Timur Laut, kira-kira jam 3.15 pagi, 12 Mac lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lau Shavin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Eldric Lu.

Dalam rayuan, pihak pembelaan memohon hukuman denda ringan dengan alasan kesalahan itu kali pertama dilakukan kesemua tertuduh selain mereka telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan yang sama.

“Kesemua tertuduh telah berkahwin serta perlu menanggung keluarga masing-masing dengan pendapatan RM1,700 hingga RM1,800,” katanya.

Sementara itu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dan menyifatkan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan memaklumkan kesemua mereka merupakan pekerja sebuah syarikat yang dilantik menyiapkan projek di bawah TM Technology Service Sdn Bhd.

“Bagaimanapun mereka tidak menjalankan tugas yang diamanahkan sebaliknya mengambil kesempatan mencuri kabel sehingga ditangkap pada hari kejadian,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan itu dilakukan dengan cara memotong kabel menggunakan peralatan khas sebelum dimasukkan ke dalam sebuah lori menyebabkan kerugian dianggarkan RM15,000.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan terhadap setiap tertuduh bermula dari tarikh tangkap.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top