London: Polis Metropolitan United Kingdom (UK) berjaya menumpaskan sindiket antarabangsa disyaki menyeludup sehingga 40,000 telefon bimbit curi dari negara itu ke China dalam tempoh setahun, lapor BBC.
Dalam operasi terbesar membanteras kecurian telefon di negara berkenaan, pihak polis berjaya menahan 18 suspek dan menemukan lebih 2,000 peranti curi itu.
Siasatan mendapati kumpulan itu dipercayai bertanggungjawab mengeksport hampir separuh daripada jumlah telefon bimbit yang dicuri di London.
Dalam pada itu, operasi besar-besaran itu membabitkan serbuan ke atas 28 premis di London dan Hertfordshire selepas seorang mangsa menjejaki iPhone miliknya yang dicuri ke sebuah gudang berhampiran Lapangan Terbang Heathrow pada malam Krismas tahun lalu.
Pemeriksaan menemukan telefon mangsa berada dalam kotak bersama hampir 900 telefon lain yang turut disahkan sebagai peranti curi.
Susulan itu, polis kemudian mengesan dua lelaki warga Afghanistan berusia 30-an yang didapati membawa telefon dibalut dengan kerajang aluminium bagi mengelak dikesan ketika pemeriksaan.
Kedua-duanya bersama seorang lagi lelaki warga India berusia 29 tahun didakwa bersekongkol menerima dan menyembunyikan harta hasil jenayah.
Sementara itu, Inspektor Detektif Mark Gavin berkata, penemuan penghantaran pertama menjadi titik penting dalam membongkar rangkaian penyeludupan telefon antarabangsa.
Minggu lalu, polis turut menahan 15 lagi individu termasuk beberapa wanita dalam serbuan awal pagi di sekitar London.
Siasatan mendapati pencuri jalanan dibayar sehingga 300 Pound Sterling (kira-kira RM1,780) bagi setiap telefon sebelum dijual semula di China pada harga mencecah 36,800 yuan (kira-kira RM24,000).
Pegawai berkata, kumpulan itu menyasarkan produk Apple kerana nilai jualannya yang tinggi di pasaran luar negara.
Komander Andrew Featherstone menyifatkan kejayaan itu sebagai operasi terbesar pernah dijalankan polis Metropolitan dalam membanteras kecurian telefon.
Bagi Datuk Bandar London, Sadiq Khan pula menggesa, industri telefon bimbit meningkatkan keselamatan peranti bagi mengelak ia terus menjadi sasaran penjenayah.
© New Straits Times Press (M) Bhd




