Curi kenderaan, dua penjenayah tegar miliki 138 rekod jenayah ditahan

Curi kenderaan, dua penjenayah tegar miliki 138 rekod jenayah ditahan

am@hmetro.com.my

Seremban: Dua penjenayah tegar yang masing-masing memiliki 61 dan 77 rekod jenayah lampau termasuk dikehendaki kerana cubaan membunuh, ditahan polis petang kelmarin selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kenderaan.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, tangkapan itu susulan satu kejadian pada pagi kelmarin apabila seorang lelaki membuat laporan polis mengatakan kereta Honda Civic RS miliknya dilarikan.

“Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa mendakwa suspek mengambil kunci keretanya di sebuah pusat cuci kenderaan sebelum melarikan kereta itu.

“Bertindak atas maklumat, kira-kira jam 5.30 petang pada hari sama, sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSPD) Seremban berjaya menahan tiga suspek,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, tiga lelaki berusia antara 34 hingga 48 tahun itu ditahan di Cheras, Selangor dan pihaknya turut berjaya merampas kereta yang dilaporkan hilang berkenaan.

Katanya, berikutan kejayaan tangkapan dalam tempoh kira-kira tujuh jam itu, pihaknya turut berjaya merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilaporkan hilang di Petaling Jaya, Selangor pada 16 Mei lalu.

“Kami juga merampas peralatan khas untuk mencuri kenderaan seperti mesin programmer, peralatan pembuka kunci tambahan, mesin jammer dan 12 pasang nombor pendaftaran kenderaan.

“Selain itu, beberapa kunci kenderaan, tujuh kad Touch ‘n Go dan pelbagai beg tangan berjenama juga dirampas. Malah, pemeriksaan lanjut menemukan tujuh peket dadah disyaki syabu, heroin dan pil yaba,” katanya.

Katanya, semakan mendapati seorang suspek mempunyai 77 rekod jenayah dan dua rekod dikehendaki atas kesalahan dadah dan curi kenderaan mewah.

“Manakala seorang lagi suspek mempunyai 61 rekod jenayah dan masih dikehendaki atas kesalahan cubaan membunuh di Bentong, Pahang,” katanya.

Mohamad Hatta berkata, hasil ujian saringan urin mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mereka direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek sama disyaki terbabit dalam 13 kes curi kenderaan mewah di sekitar Seremban, Lembah Klang, Melaka dan Batu Pahat, Johor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top