Curi selipar disyaki punca insiden buli di Kampung Melayu Majidee

Curi selipar disyaki punca insiden buli di Kampung Melayu Majidee

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis tidak menolak kemungkinan kejadian buli membabitkan remaja lelaki berusia 13 tahun di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee, di sini, berpunca daripada kes mencuri selipar.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, siasatan mendapati empat suspek dipercayai bertindak demikian kerana tidak berpuas hati terhadap mangsa yang bekerja sebagai pembantu gerai minuman dan didakwa mencuri selipar milik salah seorang daripada mereka.

“Selipar itu ditemukan semula di kaki lima rumah mangsa. Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, polis menahan empat kanak-kanak lelaki tempatan berusia lingkungan 14 hingga 15 tahun di dua lokasi berasingan.

“Daripada jumlah itu, tiga suspek dikenal pasti tidak bersekolah. Polis turut merampas beberapa barang kes bagi membantu siasatan, antaranya seutas tali nilon, satu penyembur racun serangga dan satu pemetik api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Raub berkata, hasil semakan mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, polis akan memohon lanjutan reman terhadap kesemua suspek yang kini ditahan selama empat hari dan berakhir esok.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. Kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Johor dan masih terdapat beberapa arahan perlu dilengkapkan untuk tujuan pertuduhan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat yang memaparkan sekurang-kurangnya empat remaja lelaki disyaki membuli mangsa sekitar jam 12.39 tengah malam, termasuk menyembur bahan dipercayai api ke arah mangsa yang berada dalam keadaan tangan terikat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top