Cuti tambahan Aidilfitri: KESUMA galakkan majikan beri pekerja kelonggaran, perkukuh ‘work-life balance’

Cuti tambahan Aidilfitri: KESUMA galakkan majikan beri pekerja kelonggaran, perkukuh ‘work-life balance’

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyeru majikan mempertimbang pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja susulan pengumuman cuti tambahan sempena Aidilfitri yang diumumkan hari ini.

Menurut KESUMA, sambutan perayaan seperti Aidilfitri adalah masa yang amat bermakna bagi pekerja untuk bersama keluarga dan orang tersayang.

“Justeru, pemberian kelonggaran cuti oleh majikan akan membantu memastikan pekerja dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana kebersamaan, keharmonian dan kesejahteraan.
“Dalam masa yang sama, KESUMA menggalakkan majikan mempertimbang pemberian kelonggaran cuti kepada pekerja sebagai sebahagian amalan pekerjaan yang prihatin dan progresif,” katanya.

KESUMA galakkan majikan beri pekerja kelonggaran

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan sekiranya Aidilfitri jatuh pada Jumaat, 20 Mac, kerajaan akan mengisytiharkan Isnin, 23 Mac sebagai cuti umum tambahan, atau cuti tambahan pada Jumaat (20 Mac) jika Aidilfitri jatuh pada Sabtu.

Langkah ini bertujuan memberi ruang kepada rakyat Malaysia untuk pulang ke kampung halaman serta meraikan Aidilfitri bersama keluarga dengan lebih selesa.

KESUMA memaklumkan cuti tambahan ini selaras peruntukan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang memperuntukkan kuasa kepada kerajaan untuk mengisytiharkan hari kelepasan am.

Artikel lain: Langkah penjimatan! KESUMA teliti, perluas amalan WFH sektor swasta – Ramanan

Sehubungan itu, cuti yang diisytiharkan ini terpakai kepada pekerja sektor swasta tertakluk kepada seksyen 60D Akta Kerja 1955 [Akta 265].

Berdasarkan peruntukan tersebut, majikan boleh menggantikan hari kelepasan am berkenaan dengan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti am bergaji kepada pekerja.

Majikan juga hendaklah memaklumkan kepada pekerja mengenai pengaturan cuti tambahan ini, sama ada diberikan pada tarikh diisytiharkan atau digantikan dengan hari lain yang sesuai.

“Sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada hari kelepasan am yang diisytiharkan, pekerja tersebut layak menerima kadar bayaran kerja pada hari kelepasan am sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955,” kata KESUMA.

Sumber: FB Kementerian Sumber Manusia

Scroll to Top