Dadah bernilai RM12.6 juta dirampas, sindiket guna bot pancung hantar bekalan

Dadah bernilai RM12.6 juta dirampas, sindiket guna bot pancung hantar bekalan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis membongkar modus operandi sindiket pengedaran dadah yang menggunakan bot pancung sebagai pengangkutan bagi penghantaran dadah ke negara jiran.

Menerusi Ops Tapis yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam di sekitar Sekinchan pada 12 Februari lalu, tiga warga asing warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan berkenaan, pelbagai jenis dadah dirampas dianggarkan bernilai RM12.6 juta.

Katanya, turut dirampas sepucuk pistol jenama Llama Cal.38 Super, satu kelopak peluru berisi empat butir peluru dan 45 butir peluru.

“Serbuan pertama dijalankan di kawasan perumahan Kampung Sungai Leman, Sekinchan dan berjaya menahan tiga suspek berusia 26 hingga 53 tahun bersama tiga bungkusan plastik disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 11.36 gram.

“Serbuan kedua dijalankan di dalam sebuah bot tidak bernombor di Jeti Ikan, Sekinchan dan berjaya merampas 152 bungkusan disyaki methamphemine (158.61 kilogram), lima bungkusan plastik dadah disyaki ekstasi (10.89 kilogram) dan 2,000 kartrij disyaki dadah jenis MDMA (5 kilogram).

“Pistol turut ditemui dalam bot berkenaan dan anggaran rampasan dadah adalah RM12.6 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak awal 2021 dan beroperasi di kawasan perairan Selangor serta Selat Melaka.

Katanya, suspek pertama berperanan sebagai koordinator laut dan darat, suspek kedua sebagai ‘runner’ dan ‘boatman’ manakala suspek ketiga ialah isteri kepada koordinator.

Menurutnya, polis percaya bekalan dadah berkenaan diperoleh dari Semenanjung Malaysia sebelum dibawa ke negara jiran menerusi perairan antarabangsa.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif methamphetamine manakala suspek ketiga negatif.

“Hasil semakan juga mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau,” katanya.

Hussein berkata, dua suspek lelaki dipercayai sudah lama berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan mendakwa bekerja sebagai nelayan manakala suspek wanita pula baru sahaja tiba.

Katanya, kesemua suspek direman 14 hari sehingga 26 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top