am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Berperanan sebagai ‘transporter’ dan menjaga stor penyimpanan dadah, seorang lelaki ditahan polis dalam serbuan di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini, 4.30 pagi, 16 Februari lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, polis turut membuat pemeriksaan ke atas kereta suspek, 39, dan menjumpai sejumlah dadah sebelum serbuan susulan dilakukan di dua premis dekat dua kondominium sekitar daerah ini.
“Suspek menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal untuk menyimpan dan membungkus semula dadah yang mana hasil siasatan awal mendapati kegiatan ini aktif sejak Januari lalu.
“Suspek ini kita percaya tinggal di tempat lain dan menjadikan premis lain sebagai stor yang mana semua premis ini disewa bukan atas nama suspek.
“Dalam semua serbuan ini, kita merampas 15,450.6 gram disyaki serbuk ekstasi dan 55 gram disyaki syabu yang dianggarkan bernilai lebih RM2.58 juta.
“Kita turut merampas pelbagai peralatan memproses dan membungkus dadah selain menyita sebuah kereta dan wang tunai RM220,” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.
Menurut Kumar, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan semakan mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Katanya, suspek dituduh di mahkamah, hari ini, atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya sedang mengesan seorang lelaki bernama Tan Hua Chiek, 34, yang beralamat di Kuching, Sarawak, bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.
“Jika sesiapa mempunyai maklumat mengenai individu ini, harap dapat menyalurkan maklumat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan kerana kita percaya ada beberapa orang yang mendalangi sindiket atau bersama dengan suspek ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




