hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) belum menerima klien atau penagih yang terbabit dalam penggunaan dadah zombie atau ‘fentanil’ untuk menerima rawatan.
Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, bagaimanapun pihaknya bersedia untuk menambah baik kemampuan dan keupayaan agensi itu bagi menangani isu membabitkan dadah baharu atau sintetik termasuk ‘fentanil’.
Beliau berkata, fentanil atau dikenali dadah zombie adalah ancaman terbaharu dan mula dikesan oleh pihak polis.
“Sehingga kini kita tidak tahu, tetapi kita bersedia untuk masa depan sebab dia (fentanil) ini unik, antaranya kemerbahayaan dadah ini melebihi 50 ke 100 kali ganda daripada morfin.
“Bahayanya dadah ini, ia boleh memberi kesan menyebabkan individu menjadi gila, serangan jantung dan sistem saraf sehingga membawa maut,” katanya ketika ditemui selepas melakukan kunjungan ke Media Prima di Balai Berita, di sini, hari ini.
Kehadiran beliau disambut Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid.
Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi (Direct Solutions) Media Prima Omnia, Datuk Mohd Efendi Omar dan Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan Media Prima, Farrah Naz Abd Karim.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, berdasarkan data AADK, lebih 70 peratus penagih dadah dikenal pasti menyalahgunakan bahan sintetik.
Katanya, antara yang dikenal pasti termasuklah fentanil, sejenis opiat sintetik.
“Dengan harapan kita dapat tangani masalah ini sekiranya ia (penagih) datang (ke pusat rawatan dan pemulihan AADK).
“Bagi pihak AADK, kita bersedia untuk menambah baik kemampuan dan keupayaan kita dalam menangani isu dadah baru ini.. buka fentanil sahaja tetapi dadah lain juga,” katanya.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, dengan penambahbaikan secara menyeluruh selain penerimaan penagih terbabit penggunaan dadah zombie di pusat rawatan dan pemulihan, ia membolehkan pihaknya membuat penilaian terhadap individu berkenaan sekali gus membolehkan langkah rawatan dapat dirancang dan dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Dengan adanya kemampuan untuk mengesan, menilai dan membuat penilaian kepada pihak yang terbabit, maka kita boleh mengorak langkah bagaimana untuk merawat mereka,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dadah fentanil yang dikatakan 100 kali lebih kuat daripada morfin sudah mula dikesan berada dalam pasaran negara ini susulan penemuan sampel analisis air kumbahan di Lembah Subang berjaya mengesan kehadiran methamphetamine dan fentanil.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan berkata, dadah baharu itu memang sudah berada di dalam negara ini yang mana sebelum ini dikesan di Lembah Klang malah sekarang turut berada di Johor.
Mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semalam mengenai penelitian kerajaan terhadap keperluan untuk meminda akta sedia ada atau menggubal akta baharu bagi menangani fenomena penjualan dadah dalam talian, Ruslin berkata pihaknya bersedia untuk terbabit dalam proses sekiranya ada pindaan dari segi perundangan.
“Kita bersedia untuk sama-sama terbabit dalam proses (pinda atau gubal) sekiranya ada pindaan dari segi perundangan membabitkan pengedaran atau penjualan dadah dalam talian,” katanya.
Kerajaan sebelum ini dilapor sedang meneliti keperluan pinda atau gubal terbabit bagi menangani masalah pengedaran dadah secara dalam talian yang semakin berleluasa.
© New Straits Times Press (M) Bhd