bhnews@bh.com.my
GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menerima aduan kenaikan harga daging segar tempatan yang meningkat secara mendadak di negeri ini terutama menjelang Aidilfitri.
Pegawai Pendidikan CAP, NV Subbarow, berkata aduan daripada pengguna memaklumkan bahawa harga daging dijual antara RM40 hingga RM55 sekilogram.
Katanya, harga berkenaan amat tinggi berbanding harga siling RM34 seperti yang ditetapkan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.
“Perkara ini tidak sepatutnya dibiarkan dan kita harap pihak berkuasa atau agensi berkaitan supaya segera meningkatkan pemantauan di semua peringkat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, tinjauan di Pasar Awam Bayan Baru mendapati tiga gerai yang menjual daging segar tempatan mengikut harga siling.
Penjual, Zainul Abidin Kachi Mydin, 32, berkata setakat ini peniaga tidak mempunyai masalah bagi mendapatkan bekalan daging segar tempatan namun kos yang tinggi menyebabkan mereka terpaksa menjualnya pada harga yang lebih tinggi.
“Daging berharga RM34 sekilogram itu adalah terdiri daripada daging cincang yang dicampur dengan bahagian lain namun jual beli berkenaan terlebih dahulu mendapat persetujuan daripada pembeli. Daging segar tempatan yang bukan dicincang dijual pada harga RM40 sekilogram dan ia juga dijual mengikut persetujuan kedua-dua pihak,” katanya.
Sementara itu Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata pihaknya mengalu-alukan aduan daripada orang ramai dan akan mengambil tindakan segera.
“Daging segar tempatan menjadi rebutan dipercayai berikutan isu sindiket kartel daging baru-baru ini, menyebabkan pengguna tidak mahu beli daging sejuk beku. Kita masih teruskan pemantauan dan akan kompaun peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya ketika dihubungi.
Aduan dan maklumat berkaitan boleh disalurkan dengan menghubungi Bilik Gerakan KPDNHEP Negeri menerusi talian 04-3840245, Pusat Arahan Penguatkuasaan (03-8882 6088 / 03-8882 6245) dan Portal e-aduan KPDNHEP (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) atau menerusi talian bebas tol 1 800 886 800; emel e-aduan@kpdnhep.gov.my; aplikasi WhatsApp KPDNHEP (019-279 4317) dan aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDNHEP.
© New Straits Times Press (M) Bhd