Dagu panjang jadi tuah YouTuber Jepun

Dagu panjang jadi tuah YouTuber Jepun

Tokyo: Seorang lelaki di Jepun tular di media sosial dan memberi inspirasi kepada ramai orang dengan dagunya yang sangat panjang.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, lelaki dikenali Jonouchi itu, mempunyai hampir 350,000 pengikut di YouTube dan dengan bangganya menyebut dirinya sebagai YouTuber dengan dagu terpanjang di dunia.

Dia juga mengumpulkan lebih 400,000 pengikut di platform media sosial lain.

Jonouchi mendedahkan bahawa dagunya mula memanjang pada umur lima tahun dan tiada ahli keluarganya berkongsi ciri sama.

Gambar zaman kanak-kanak menunjukkan dagunya kelihatan normal sehingga umur tiga tahun, namun mula memanjang dua tahun kemudian.

Selepas berada di Tahun Lima, seorang rakan sekelas memberitahunya dagunya sangat panjang.

Pertumbuhan luar biasa itu juga membingungkan Jonouchi hingga dia minum susu setiap hari dengan harapan bertambah tinggi.

“Tapi hanya dagu saya yang panjang,” katanya.

Apabila mendapatkan nasihat perubatan dan menjalani X-ray di hospital pergigian, doktor di situ sangat terkejut sehingga berkata, mereka tidak pernah melihat dagu sebegitu panjang.

Punca sebenar keadaannya masih tidak diketahui.

Hasil imbasan X-ray mendapati struktur tulang yang tidak normal, namun faktor genetik atau pengambilan kalsium yang berlebihan daripada susu diketepikan.

Jonouchi berkata, bahawa dagunya yang tersendiri membawa cabaran peribadi yang ketara pada awal kehidupan, terutamanya di sekolah dan dalam kehidupan cintanya.

Bagaimanapun, dia memilih untuk menerima kekurangan itu dan mengubahnya menjadi jenama peribadinya di media sosial.

Dia kini dengan bangganya mempamerkan dagunya dan berharap dapat memberi inspirasi kepada individu lain untuk menerima ciri semula jadi yang berbeza daripada kebanyakan orang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top