Dah 10 tahun bercinta, Zarina Zainoordin serah urusan jodoh dengan Allah

Dah 10 tahun bercinta, Zarina Zainoordin serah urusan jodoh dengan Allah

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Petaling Jaya: Pelakon dan penyanyi, Zarina Zainoordin menyerahkan urusan jodohnya pada ketentuan takdir walaupun sudah bercinta selama 10 tahun dengan kekasih yang juga ahli perniagaan berusia 52 tahun.

Zarina, 40, berkata, dia bersyukur dan gembira hubungan bersama lelaki berstatus duda anak dua itu bertahan lama hingga kini selepas pernah beberapa kali mengalami putus cinta.

“Kami sudah 10 tahun berkawan dan tak dinafikan hubungan (cinta) dengan dia paling lama dan bertahan sampai sekarang. Dia seorang yang memahami saya, terbuka dan mempunyai kewangan kukuh.

“Dia berasal dari Perak dan berusia 52 tahun yang berstatus duda dua anak. Dua anaknya itu masih bersekolah dan dia juga bukan dalam kalangan orang seni kerana menjalankan perniagaan sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Zarina yang juga bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2) pada 2004 mengakui, dia tidak lagi memilih untuk bercinta dengan orang seni kerana lebih memerlukan lelaki yang stabil kedudukan kewangannya.

“Saya memang dah tak nak (bercinta) dengan orang seni sebagaimana pengalaman dilalui sebelum ini, cukuplah. Sekarang, saya pilih yang berduit dan dia (kekasih) tahu mengenainya.

“Setakat ini, syukur juga apabila dia (kekasih) tidak pernah berkira dengan saya macam duit bulanan rumah. Tahu-tahu, dia dah tolong bayarkan dan saya amat berterima kasih kepadanya.

“Cuma, bagi soal jodoh dan perkahwinan, saya menyerahkan semuanya pada ketentuan takdir dan berdoa akan ada rezeki juga untuk kami hidup bersama sebagai suami isteri nanti,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarga apabila dia masih lagi belum berkahwin, Zarina berkata, keluarga dan saudara maranya juga tidak pernah bertanya langsung soal jodoh.

“Alhamdulillah, walaupun saya dan dia (kekasih) sudah menjalin hubungan agak lama, namun kami memang tiada sebarang tekanan untuk segera menoktahkan percintaan ini dengan ikatan perkahwinan.

“Tapi, bukanlah kami tak nak berkahwin, namun macam yang saya kata, ia bergantung pada ketentuan Yang Esa. Keluarga pun tidak mendesak walaupun kalau ikutkan saya sebenarnya dah lama bersedia untuk berumah tangga,” katanya.

Difahamkan sebelum ini Zarina pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain gitar pada 2010, namun hasrat itu akhirnya dibatalkan, termasuk dia juga pernah bercinta dengan beberapa pelakon lelaki, namun hubungan itu terkandas di tengah jalan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top