Penyanyi, Datin Alyah tampil menjelaskan mengenai isu pembayaran sekiranya mahu menjemputnya ke mana-mana acara.
Memetik laporan Harian Metro, Alyah berkata dia tidak akan menerima undangan daripada pihak yang mahu membayar mengikut isi kepala mereka sendiri.
“Saya dah 24 tahun dalam industri dan tak bolehlah dibayar ikut sesuka hati. Kalau orang nak buat begitu, sejujurnya memang saya takkan pergi. Itu prinsip saya.
“Bukan saya riak tapi perlu kena dengan situasi. Pengalaman saya tak boleh dinilai dengan duit. Benda itu orang patut tahu dan patut ingat. Tidaklah harga sampai satu kapal terbang tapi kenalah masuk akal.
“Contohnya saya tak pergi konsert pakai selipar. Saya persiapkan diri saya kerana tahu client (pelanggan) bayar saya untuk tengok diri saya dari semua segi dan benda itu perlukan kos.
“Saya tak pernah letak harga melebihi artis senior. Tapi ada juga client tanya boleh tak minta kurang. Itu bergantung pada budi bicara macam mana,” katanya.
Sementara itu, pelantun lagu popular Kisah Hati ini turut bersuara mengenai penggunaan perkataan amal yang digunakan oleh segelintir penganjur.
“Saya ada tanggungjawab walaupun suami saya Tok Ram (Datuk Ramli MS). Saya ada emak dan anak saudara yang ditanggung selepas abang saya meninggal.
“Selain itu, saya juga ada kawan-kawan yang kadang-kadang kita rasa nak memberi sebagai tanda terima kasih dan membalas jasa. Saya harap perkara ini perlu difahami.
“Berkenaan Tok Ram pula, kami saling menghormati karier satu sama lain. Dia sangat tegas waktu bekerja. Tapi selepas itu sisinya berbeza. Orang mesti ingat dia garang tapi sebenarnya tidak,” tuturnya lagi.
Sumber: Harian Metro




