Dah bayar zakat fitrah?

Dah bayar zakat fitrah?

ALHAMDULILLAH saya telah lunaskan tanggungjawab saya sebagai ketua keluarga. Soalan acapkali yang akan ditanya adalah ‘bayar untuk berapa orang ye?’. 

Saya akan jawab dengan senyuman dan penuh kesyukuran ’12 orang, Tuan Amil’. Nak bayar untuk diri sendiri, isteri saya, 10 orang anak. 12 orang untuk tahun ini. Insya-Allah.

Daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah S.A.W memfardhukan zakat fitrah dalam bulan Ramadan ke atas setiap manusia Muslim (tidak kira hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, kecil atau besar) yang dikeluarkan sebanyak segantang tamar atau makanan ruji sebagai Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menetapkan harga zakat fitrah tahun 2022 sebanyak RM7, RM14 atau RM21 menurut harga beras yang dimakan.

Zakat fitrah ini adalah pelengkap kepada ibadah puasa Ramadan untuk menguji keimanan setiap hamba. Melunaskan zakat fitrah pada bulan Ramadan sehingga sebelum selesai solat sunat Aidilfitri pada pagi 1 Syawal menunjukkan kita berjaya mengikis penyakit kedekut dan pentingkan diri sendiri.

Jika belum lagi bayar zakat, bolehlah melakukan sedemikian untuk diri sendiri dan mereka di bawah tanggungjawab kita. Buat para isteri, ingatkan para suami tercinta. Kadang-kadang mereka mungkin terlewat dek sibuk mencari rezeki untuk keluarga. Sekarang ini ada Pusat Zakat yang telah menerima bayaran secara atas talian. Tidak ada lagi alasan masa tidak mengizinkan. 

Terima kasih Imam Mohamad bin Ahmad Badawi, amil zakat di Masjid Tengku Mahkota Abdullah (Masjid Daerah) Jerantut yang menerima bayaran zakat fitrah saya.

Semoga segala amalan kita dalam bulan Ramadan diterima dan diberkati Allah S.W.T.

YB IR TS KHAIRIL NIZAM KHAIRUDIN
Ketua Penerangan PAS PUSAT
Ahli Parlimen Jerantut – HARAKAHDAILY 19/4/2023

Advertisement