Dah lebih setahun Hafidz tak jumpa anak-anak, Syuhada sekat di pelbagai platform

Dah lebih setahun Hafidz tak jumpa anak-anak, Syuhada sekat di pelbagai platform

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Shah Alam: “Sangat-sangat rindu.”

Ini luahan pelakon, Hafidz Roshdi, 31, apabila ditanya sedalam mana rasa rindu terhadap dua anaknya, Humaira dan Umar yang kini berada di Australia bersama bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri.

Hafidz berkongsi bagaimana dia kerap merindukan kedua-dua cahaya mata hasil perkahwinan pertamanya itu selepas gagal menghubungi mereka sejak lebih setahun lalu.

“Boleh kata, dua hari sekali itu mesti termimpikan mereka. Termimpi berjumpa dengan mereka. Untuk ubati rasa rindu, saya cuba kuatkan dirilah. Tengok gambar-gambar dan video-video lama,” katanya.

Menurutnya, dia tidak lagi dapat menghubungi Humairah dan Umar selepas disekat oleh Shuhada di pelbagai platform.

“Sebelum ini, ada saya berhubung dengan anak-anak melalui panggilan telefon. Tapi, sekarang ini dah tak dapatlah.

“Kali terakhir, sebelum mereka pergi Australia Mei tahun lalu. Setahun dah tak dapat hubungi anak-anak,” katanya.

Ditanya mengenai kerjaya seni, Hafidz berkata, dia masih lagi menantikan dan terbuka untuk menerima sebarang tawaran lakonan.

“Saya baru selesai menjalani penggambaran program bual bicara. Baru-baru ini juga, saya menjadi pengacara siaran langsung di TikTok untuk jenama pakaian Tuan by Tengku Kery dan masih berjalan.

“Jadi, sumber pendapatan saya adalah dari situ memandangkan belum lagi ada tawaran lakonan.

“Kepada penerbit dan pengarah di luar sana yang tahu mengenai situasi saya, berilah saya peluang untuk kembali berlakon semula,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top