Dah tak berumah dalam kereta

Dah tak berumah dalam kereta

lokman.khairi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas lebih setahun kisah Ariff Luqman Peter Lisut yang berumah dalam kereta kerana menanggung hutang lebih RM1 juta dilaporkan, lelaki itu kini sudah bangkit kembali.

Kini, dia sudah mampu membeli rumah sendiri selepas menyelesaikan kesemua hutangnya itu.

Dia yang lebih dikenali sebagai Ariff Peter, 29, berkata, rumah jenis kondominium di Jalan Kuching di sini, itu dibeli dengan harga kira-kira RM600,000 pada pertengahan tahun lalu dan mula menghuni selepas kunci diterimanya Januari lalu.

Ariff Peter yang baru mendirikan rumah tangga berkata, pembelian rumah itu bagi menunaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga, selain memenuhi impiannya mengumpul hartanah.

“Saya sudah rancang agak lama juga untuk miliki rumah ini iaitu sebelum berkahwin kerana saya perlu tunaikan nafkah yang wajib iaitu tempat perlindungan untuk isteri.

“Ini juga adalah satu bentuk pelaburan. Ada rezeki nanti, saya mahu tambah lagi (rumah) untuk pelaburan masa hadapan.

“Sekurang-kurangnya, jika saya tak boleh jual rumah itu, saya boleh sewakan. Saya sasarkan untuk beli dan sewakan banyak rumah di Kuala Lumpur sebagai pendapatan pasif saya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Ariff Peter yang terpaksa tinggal dalam Proton Wira yang juga satu-satunya harta miliknya selepas pemuda berkenaan menjual semua aset perniagaan, rumah dan kereta lebih dua tahun lalu.

Untuk membayar hutang lebih RM1 juta selepas terpedaya dengan pelaburan mata wang digital, dia melakukan khidmat pembersihan dan sanitasi premis dan rumah, menulis lirik, menghasilkan poster perniagaan, copy writing dan pelbagai kandungan video selain perkhidmatan penghantaran barang.

Berkongsi kisah kebangkitannya dalam kehidupan yang sukar, Ariff Peter berkata, peluang dikenali ramai memberi limpahan rezeki apabila ditawarkan pelbagai job.

“Pendapatan itu mencecah lima angka. Duit lebihan daripada perkhidmatan itu saya gunakan untuk melabur dalam perniagaan.

“Sekarang saya sudah ada kedai makan, gim, kedai runcit untuk jana lebih banyak pendapatan,” katanya.

Menurutnya yang kini memiliki syarikat konsultasi kewangan, tahun lalu adalah tempoh penuh mencabar untuk dirinya.

Katanya, dia bekerja untuk membina semula kehidupannya ke arah lebih baik.

“Saya bersyukur sangat. Saya tak pernah minta duit pada orang lain. Saya sedar saya mesti bertanggungjawab.

“Alhamdulillah, Allah SWT permudahkan sebab saya belajar yang kalau kita permudahkan urusan orang…Insya-Allah Tuhan akan permudahkan urusan kita dan saya percaya mengenainya,” katanya.

Dia juga berterima kasih kepada Harian Metro yang menyiarkan kisah hidupnya sebelum ini sehingga mendapat perhatian umum dan mendapat pelbagai peluang.

“Saya berterima kasih sangat kepada Harian Metro yang memberi impak besar kepada kehidupan saya.

“Saya ada dua peluang ketika dikenali, sama ada hendak jadi pempengaruh atau saya nak kekal berniaga.

“Ramai cakap baik jadi pempengaruh tetapi bagi saya kerjaya pempengaruh ada naik turun, malah boleh diganti dengan orang baru.

“Saya tak mahu jadi seperti itu. Jadi, saya fokus kepada perniagaan dan selesaikan hutang,” katanya.

Bagi Ariff Peter, kesempitan hidup adalah ujian Tuhan bagi membolehkan setiap manusia menjadi insan yang lebih gigih.

“Kadang-kadang kita berasa macam kesusahan itu berat. Lain orang, lain kemampuan untuk menghadap ujian.

“Saya menganggap kesusahan itu sebahagian daripada hidup dan jika diselesaikan, ada peluang yang lebih besar di kemudian hari.

“Dalam hidup ini apabila kita tengah terdesak, kita akan jadi kreatif untuk selesaikan masalah.

“Kalau kita terlalu fokus pada masalah kita akan dapat masalah, tetapi kalau kita fokus kepada jalan penyelesaian kita akan dapat jalan penyelesaian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top