Pelakon versatil, Beto Kusyairy akui semakin terbatas untuk terus membawakan watak lasak di layar perak kerana faktor usia.
Menyedari realiti itu, Beto berharap akan muncul lebih ramai pelapis baharu yang mampu mengisi ruang dalam genre filem aksi tempatan.
“Sekarang saya pun dah 45 tahun… Dah rasa tak larat nak buat aksi sangat. Jadi saya harap akan ada pelakon-pelakon muda yang boleh ambil alih. Itu satu perkembangan yang sangat bagus kalau kita ada,” katanya.
Beto berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gala dan Tayangan Perdana filem Gayong di GSC Mid Valley, malam tadi.
Menurut Beto, antara wajah baharu yang dilihat ada potensi besar ialah Fad Anuar, anak saudara kepada pelakon lagenda Eman Manan.
Malah katanya, ramai lagi bakat muda sedang muncul menerusi projek-projek baharu.
“Kita ada Fad Anuar. Mungkin juga ada bakat-bakat lain dari generasi lebih muda, contohnya daripada produksi macam Kahar High Council.
“Tapi saya tetap harap, walau sehebat mana pun aksi atau silat yang dipersembahkan, asas lakonan tetap kena padu. Itu benda paling penting,” tegasnya.
Beto yang memegang watak utama dalam Gayong, sempat menitipkan pesanan kepada barisan pelakon muda agar datang ke set penggambaran dengan persediaan penuh, bukan untuk ‘belajar dari kosong’.
“Kalau boleh bersilat tu, memang satu bonus. Tapi bila dah masuk set, itu masa untuk deliver, bukan masa untuk belajar. Lakonan kena mantap dulu, barulah jadi pakej yang lengkap,” jelasnya.
Untuk info, Beto membawa watak sebagai Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman, pengasas seni bela diri Silat Gayong, dalam filem biopik berjudul Gayong.
Filem tersebut mengangkat kisah perjuangan Allahyarham ketika era penjajahan Jepun, termasuk babak menyelamatkan penduduk di Pasir Ria.
“Garis masa dan cerita yang dibawa memang berdasarkan sejarah sebenar. Kita cuma tambah sedikit elemen dramatik supaya lebih sesuai dengan bentuk filem.
“Tapi tak pernah sekalipun kami berniat nak merendahkan tokoh hebat ini atau keluarganya. Kami betul-betul nak angkat nama dan sumbangan Allahyarham,” ujar Beto yang sudah mengenali Silat Gayong sejak usia tujuh tahun.
Filem Gayong bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 8 Mei ini. Naskhah arahan Faisal Ishak ini turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nabila Huda, Syafie Naswip, pelakon aksi terkenal Indonesia Yayan Ruhian dan aktor Thailand, Chevanon Phukaokaew.




