Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, 33, meluahkan rasa kesal apabila menjadi mangsa penipuan individu tidak bertanggungjawab dalam menjual slot tempahan palsu di restoran viral, Rembayung milik pempengaruh Khairul Aming.
Tertipu slot Rembayung
Screenshot
Memetik laporan Harian Metro, dia menjelaskan, tujuan berkongsi pengalaman itu bukan untuk meraih simpati, sebaliknya sebagai peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa ‘scammer’ di media sosial.
“Macam mana dia sanggup buat benda ini pada bulan puasa? Tanggunglah dosa!” katanya, baru-baru ini
Difahamkan, slot berkenaan dibeli daripada seorang individu menggunakan nama ‘Dayang’ di platform Threads, walaupun pada mulanya sudah berasa agak ragu-ragu.
“Kami memang sudah bersedia mental 50/50. Kalau kena ‘scam’, kami cari restoran lain. Rupa-rupanya memang betul kami kena ‘kencing’. Bila saya semak semula, akaun Threads individu itu sudah dipadam, tapi saya masih simpan nombor akaun bank dia,” kongsinya.

Walaupun jumlah kerugian sekitar RM120 itu kecil bagi sesetengah pihak, Daiyan lebih memikirkan nasib mangsa lain yang mungkin datang dari jauh semata-mata untuk merasai hidangan di restoran tersebut.
“Saya tenang saja sebab jumlahnya tidak besar, cuma saya kasihan pada mereka yang bawa ibu bapa atau datang jauh dari Kelantan atau Perlis semata-mata nak makan di situ, tetapi tiba-tiba kena tipu. Hari biasa pun sudah tidak elok, apatah lagi dilakukan pada bulan Ramadan. Memang sangat tidak baik,” tambahnya lagi.
Artikel lain: ‘Poket sendiri dah tebal, tak perlu cari lelaki berharta’ – Daiyan Trisha
Sebelum ini, tular video Daiyan bersama pasukannya yang kelihatan kecewa selepas menyedari mereka ditipu. Malah, dia sempat berseloroh meminta bantuan ‘tuan empunya badan’, Khairul Aming untuk ‘menangkap’ individu terbabit.
Sumber: Harian Metro (Syafil Syazwan Jefri)



