Pelakon dan penyanyi cantik, Daiyan Trisha, diumumkan sebagai penerima Ultimate Award Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2025 dalam acara gilang-gemilang yang berlangsung secara langsung dari Dewan Putra, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan di TV3, sebentar tadi.
Ultimate Award AMT 2025 merupakan pengiktirafan tertinggi kepada figura yang memberi pengaruh besar melalui impak positif, momen tular, serta sokongan dan interaksi masyarakat sepanjang tahun.
Selain anugerah utama, Daiyan turut memenangi kategori Selebriti Stailo Terhangat, menandakan kejayaan berganda buat dirinya malam tadi.
Dalam kategori lain, penyampai radio Hot FM, Keymi, berjaya meraih Anugerah Pilihan Proton X50 Superstar yang turut melayakkannya menerima hadiah utama berupa sebuah Proton X50 serba baharu.
Anugerah ini diberikan kepada personaliti terkenal yang menghasilkan kandungan video paling kreatif bersama model Proton tersebut.
Pasangan popular Bella Astillah dan Syed Saddiq pula menepati jangkaan ramai apabila diumumkan sebagai pemenang Selebriti Couple Goals Terhangat.
Che Puan Sarimah Ibrahim diangkat sebagai penerima Selebriti Drama Sangat Terhangat, mengiktiraf kredibilitinya dalam bidang lakonan.
Antara selebriti lain yang turut meraih kemenangan dalam kategori masing-masing termasuklah Khai Bahar yang dinobatkan sebagai Selebriti Muzik Paling Onz & Terhangat, manakala Cik Epal menerima gelaran Selebriti Trending Terhangat.
Fattah Amin pula berjaya membawa pulang trofi bagi kategori Selebriti Maskulin Terhangat, sementara Sophia Albarakbah diangkat sebagai Selebriti Feminin Terhangat. Pendatang baharu, Zarif Ghazzi, turut mencuri perhatian apabila diumumkan sebagai Selebriti Newcomer Terhangat.
Untuk Kategori Tonton Original Terhangat, yang mempertandingkan kandungan Tonton Original Series dan Movies dari Januari 2024 hingga Jun 2025, kemenangan berpihak kepada drama Bru.
Siti Saleha pula diumumkan sebagai Selebriti Ikon Terhangat, manakala Datuk Rosyam Nor menerima pengiktirafan sebagai Selebriti Viral Terhangat.
Kesemua pemenang ditentukan melalui undian awam secara dalam talian di laman web rasmi, www.tonton.com.my, yang telah dibuka dari 5 hingga 31 Julai lalu.
Majlis anugerah yang meraikan bukan sahaja populariti, malah pengaruh dalam dunia digital dan media sosial ini dikendalikan oleh gandingan pengacara Ain Edruce dan Fikry Ibrahim.
Pentasan turut dimeriahkan dengan persembahan artis-artis hebat seperti Iman Troye, Ara Johari, Dukes, Mary Grave, Kai Deva, Feminin, Wani Kayrie, Umairah, Sarah Suhairi, De Fam, Fajar Noor, Marsha Milan, Anuar Zain, Ella dan Hael Husaini.
Antara barisan penyampai trofi termasuk Ernie Zakri, Fattah Amin, Siti Hariesa, Hisyam Hamid, Christy Ng, Ceddy Ng, Dolla, DeFam, Syed Saddiq, Bella Astillah, Faizal Hussein, Che Puan Sarimah Ibrahim, Anuar Zain dan Ziana Zain.
Sejak mula bersiaran pada tahun 1992, Melodi terus kekal sebagai program infotainmen terulung di negara ini yang membawakan berita-berita hiburan paling sensasi dan terkini kepada penonton.
SENARAI PENUH PEMENANG ANUGERAH MELODI TERHANGAT 2025
1. Selebriti Muzik Terhangat – Khai Bahar
2. Selebriti Drama Sangat Terhangat – Che Puan Sarimah Ibrahim
3. Selebriti Trending Terhangat – Cik Epal
4. Selebriti Maskulin Terhangat – Fattah Amin
5. Selebriti Feminin Terhangat – Sophia Albarakbah
6. Selebriti Couple Goals Terhangat – Bella Astillah & Syed Saddiq
7. Selebriti Newcomer Terhangat- Zarif Ghazzi
8. Tonton Original Terhangat – bru
9. Selebriti Stailo Terhangat – Daiyan Trisha
10. Selebriti Ikon Terhangat – Siti Saleha
11. Selebriti Viral Terhangat – Datuk Rosyam Nor
12. Anugerah Pilihan Proton x50 Superstar – Keymi Hot FM
13. Anugerah Melodi Terhangat (Ultimate Award) – Daiyan Trisha