Dakwa difitnah jual produk bahaya, Cik Pia tuntut RM1 juta dari Nilam & Azlan Komeng!

Dakwa difitnah jual produk bahaya, Cik Pia tuntut RM1 juta dari Nilam & Azlan Komeng!

Usahawan dan influencer terkenal, Cik Pia mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan selebriti Nur Nilam Ortiz dan Azlan Komeng susulan dakwaan fitnah terhadap produk minyak herba keluarannya.

Mewakili syarikat MSH Empire Resources, Cik Pia menerusi firma guaman Adnan Sharida & Associates telah menghantar Surat Tuntutan (Letter of Demand, LoD) kepada pasangan berkenaan bagi menuntut permohonan maaf terbuka serta bayaran ganti rugi berjumlah RM1 juta.

“Tindakan ini bukan sebab marah atau emosi. Tapi kami difitnah secara terbuka, dituduh jual produk bahaya.
“Nama syarikat, keyakinan pelanggan, semua terjejas,” katanya dalam sidang media khas di Bandar Baru Bangi, Selasa.

Cik Pia tuntut RM1 juta dari Nilam & Azlan Komeng!

Menurut peguamnya, Datuk Adnan Seman @ Abdullah, surat tuntutan itu telah dihantar melalui pos, WhatsApp dan serahan tangan, dengan tempoh sehingga Jumaat ini untuk pihak terbabit tampil membuat permohonan maaf.

Katanya, anak guamnya bukan sahaja berdepan kerugian jualan, tetapi juga kehilangan kepercayaan pengguna dan rakan niaga.

“Mereka bukan sekadar bersaing, tetapi membuat perbandingan terbuka, menyebut kononnya produk ‘berbahaya’ dan membuat siaran langsung TikTok berulang kali menjatuhkan reputasi anak guam saya,” katanya lagi.

Isu tercetus selepas penjenamaan semula produk Minyak Herba Nilam HQ kepada Minyak Herba S-Herb yang dahulunya dipasarkan bersama pasangan Nilam & Azlan di bawah syarikat MSH Empire, namun kerjasama berakhir Mac lalu.

Selepas itu, pasangan tersebut didakwa mengeluarkan kenyataan mendakwa produk itu mengelirukan dan tidak selamat.

“Mereka pernah jual sekali dengan saya. Tapi bila dah keluar dan nak lancarkan produk sendiri, terus burukkan produk lama macam tak selamat.
“Padahal lebih 700,000 botol dah dijual, tanpa satu pun aduan kesihatan,” tegas Cik Pia.

Beliau juga menjelaskan bahawa gambar atau video pasangan terbabit yang masih digunakan oleh affiliate bukan di bawah kawalan langsung syarikat, sebaliknya kandungan lama yang sudah tersebar di media sosial sejak awal.

“Saya bukan balas dendam, tapi saya perlu pertahan maruah dan hak sebagai usahawan. Ini juga pengajaran untuk orang lain agar jangan sebar tuduhan tanpa asas,” katanya.

Artikel lain: Ratusan ribu botol terjual, isteri Azlan Komeng terkejut terima anugerah usahawan

Sementara itu, pasangan selebriti terbabit dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak lagi mempunyai kaitan dengan produk lama, dan kini mengusahakan perniagaan baharu di bawah syarikat Nilam Empire.

Mereka juga telah melantik firma guaman Tetuan Kyara & Co untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas rakan niaga atas dakwaan penggunaan nama ‘Nilam HQ’ tanpa kebenaran serta penyebaran kenyataan yang dianggap berunsur fitnah dan mengganggu keluarga mereka.

Sumber: Gempak (Amri Hassan)

Scroll to Top