Dakwa Isteri Langgar 3 Perjanjian, Along Cham Bakal Fail Pengesahan Lafaz Cerai Taklik – “IC Saya Masih Dalam Simpanan ‘Mak Lampir’ Tu”

Dakwa Isteri Langgar 3 Perjanjian, Along Cham Bakal Fail Pengesahan Lafaz Cerai Taklik – “IC Saya Masih Dalam Simpanan ‘Mak Lampir’ Tu”

Pelawak sensasi, Along Cham membuat pendedahan mengejutkan berhubung pergolakan rumah tangganya bersama isteri, Afrena Suhaimi.

Memetik laporan OhBulan!, Along Cham atau nama sebenarnya Muhammad Nizamudin Ahmad, 42, mendakwa isterinya itu telah melanggar tiga perkara penting dalam perjanjian taklik perkahwinan mereka, sekali gus telah menyebabkan jatuhnya lafaz taklik.

Jelasnya, pelanggaran taklik itu berlaku pada tahun lalu selain turut memaklumkan dia akan mengesahkan lafaz tersebut dalam masa terdekat ini di Mahkamah Syariah Sepang, Selangor.

“Ya, saya akan failkan dan pengesahan lafaz taklik terhadap isteri di Mahkamah Rendah Syariah Sepang sebab alamat rumah saya di bawah mukim Sepang.

“Memang mengejutkan semua dan semua ibarat drama yang ada ‘plot twist’. Jadi, ini tindakan pertama saya lakukan selepas keluar dari ‘madrasah’ (penjara) semalam.

“Sebelum ke mahkamah untuk failkan pengesahan itu, saya perlu dapatkan beberapa dokumen penting seperti sijil nikah termasuk kad pengenalan saya yang masih pada simpanan ‘mak lampir’ itu (Afreena).

“Dia langgar taklik itu beberapa bulan yang lalu iaitu pada tahun lepas. Buat masa sekarang saya tak boleh nak cerita panjang sebab semuanya masih belum selesai,” katanya.

Sementara itu, Along berkata dia telah merancang untuk memfailkan lafaz cerai taklik itu pada 16 Disember tahun lalu, namun tertangguh selepas ditahan dua hari sebelum tarikh tersebut, iaitu pada 14 Disember atas kesalahan memiliki dadah.

“Saya sepatutnya buat pengesahan lafaz taklik di mahkamah pada 16 Disember, tapi saya telah ditahan pada 14 Disember.

“Kepada netizen, belajarlah agama lebih tinggi sebab lafaz taklik ini tiada kaitan dengan kes saya ditahan sebab isu dadah. Jangan buat penilaian sendiri. Pasangan mana yang berkahwin hendak bercerai.

“Saya sudah habis sayang rumah tangga dan agak terkejut sebab dia masih melanggar juga,” ujarnya lagi.

Along mengakui isu rumah tangga mereka turut dikaitkan dengan campur tangan pihak ketiga, namun bukan membabitkan isu kecurangan

Sekadar info, Along dan Afreena berkahwin pada 4 April 2024.

Sebelum ini, Along pernah mendirikan rumah tangga dengan bekas peserta Akademi Fantasia, Zila Seeron, pada Januari 2010.

Namun, perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian pada Ogos 2016. Hasil perkahwinan terdahulu, Along dikurniakan seorang anak lelaki, Ahmad Daniel, yang kini berusia 14 tahun.

Sumber: OhBulan!

Scroll to Top