Dakwa petugas tidur, isu waktu menunggu, salah laku petugas, JKN Kedah tampil beri penjelasan

Dakwa petugas tidur, isu waktu menunggu, salah laku petugas, JKN Kedah tampil beri penjelasan

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah tampil memberi penjelasan rasmi berhubung beberapa isu membabitkan perkhidmatan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jitra yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan, JKN Kedah mengesahkan pihaknya mengambil maklum kebimbangan awam, khususnya berkaitan isu tempoh masa menunggu rawatan serta dakwaan salah laku anggota bertugas.

Mengulas insiden tempoh menunggu, hasil siasatan mendapati seorang pesakit yang mendaftar pada jam 7.30 pagi, 9 Oktober lalu telah dikategorikan sebagai kes Zon Hijau (bukan kritikal) selepas saringan klinikal dilakukan.

“Pada masa sama, pasukan perubatan sedang memberikan keutamaan rawatan kepada pesakit kritikal di Zon Merah serta dua pesakit separa kritikal di Zon Kuning.

“Pesakit berkenaan telah dimaklumkan mengenai keutamaan rawatan mengikut tahap kecemasan. Pesakit itu dipanggil pada jam 8.36 pagi untuk pemeriksaan, namun didapati sudah meninggalkan jabatan berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Bagi dakwaan berhubung kakitangan bertugas yang dikatakan tidur ketika bekerja, semakan dalaman JKN Kedah mendapati petugas terbabit sebenarnya sedang menjalankan tugas mengikut skop yang ditetapkan.

Manakala satu lagi video tular yang memaparkan situasi di hospital itu pula disahkan sebagai rakaman lama sewaktu sambutan Hari Raya pada Mac lalu, yang dirakam selepas kakitangan berkenaan selesai menjalankan tugas masing-masing.

Memahami keresahan masyarakat, JKN Kedah kini sedang mengambil langkah penambahbaikan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan di Hospital Jitra, merangkumi usaha mengurangkan masa menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma.

JKN Kedah menegaskan komitmen berterusan mereka bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang disalurkan kepada awam kekal selamat, cekap dan berkualiti tinggi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top