Nama usahawan yang juga pengasas jenama pakaian baju Melayu popular, El Azman kembali mencuri perhatian selepas didakwa melakukan plagiat terhadap rekaan samping milik suami pempengaruh terkenal, Tyra Kamaruzzaman iaitu pereka fesyen Emran Rijal.
Menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di media sosial, Tyra mendakwa rekaan keris yang terdapat pada kain sampin tersebut adalah hasil turun temurun keluarga pihak suaminya.
Malah, sebagai bukti Tyra turut mendedahkan sijil reka bentuk sampin tersebut yang direkodkan di bawah Akta Hak Cipta 1987 kepunyaan keluarga Emran yang digelar sebagai ‘Keris “Sepukal” dan “Beko”.
“Nak jadikan ia inspirasi boleh tapi nak menyalin semula seratus peratus adalah sangat tak okay.
“Terutamanya bila ia adalah trademark design of someone’s family heritage.
“Design ini adalah peninggalan nenek moyang Emran untuk keturunannya sejak dari tahun 1890.
“Tapi sayang, ia telah diplagiat dan yang paling menyedihkan ialah mereka (Elrah) menciplak ‘design’ ini 100 peratus termasuklah penggunaan warna pada samping,” dakwanya.
Dalam pada itu, Emran menerusi hantaran di Threads turut mendedahkan bukti berupa mesej langsung yang telah dikirimkan kepada El Azman untuk menyelesaikan isu tersebut.
Bagaimanapun, El Azman seakan ‘mengelat’ dari menyelesaikan isu plagiat yang dikemukakannya.
Lebih mengejutkan, El Azman tuurt berjanji akan menghubungi Emran sebaik sahaja pulang dari bercuti ke luar negara, namun sehingga kini tiada sebarang inisiatif yang dilakukan pihaknya.




