aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Majlis Sukan Negara (MSN) nafikan dakwaan Datuk Azizulhasni Awang dan menyifatkan kenyataan yang mengatakan badan induk sukan negara itu tidak menghiraukan perancangan atau menghargai jasa dan sumbangannya sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Ia kerana MSN selama ini kekal komited dan sokongan MSN kepada wira berbasikal negara ini sentiasa teguh sejak sekian lama terutama termasuk jika dia ingin meneruskan karier sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
MSN menegaskan sokongan terhadap jaguh berbasikal trek negara itu tidak pernah goyah, malah segala permintaan yang dibangkitkan Azizulhasni dalam pertemuan pada 13 Ogos lalu dipersetujui bagi memastikan persiapannya menuju Los Angeles 2028 berjalan lancar.
Menurut MSN, pendirian itu disampaikan kepada Azizulhasni menerusi beberapa siri pertemuan bersama Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin dan pegawai kanan badan berkenaan sebelum dan selepas Sukan Komanwel Glasgow, termasuk ketika isu mengenai perancangan masa depannya mula timbul.
Malah, MSN berkata perbincangan mengenai laluan ke Olimpik 2028 turut dibuat bersama Persekutuan Berbasikal Malaysia (PKBM) pada 7 Julai lalu menerusi perbincangan mengenai Olympic Pathway yang membabitkan pelumba kebangsaan, termasuk keperluan Azizulhasni untuk mengumpulkan mata kelayakan seperti dinyatakan beliau.
“Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, selaku Pengerusi Lembaga Pengurusan MSN juga bertanyakan kepada Azizulhasni mengenai persiapan dan perancangannya ketika sambutan kepulangan Kontinjen Malaysia daripada Sukan Komanwel dan sentiasa mengambil tahu perkembangan membabitkan beliau,” menurut kenyataan MSN hari ini.
Lebih menarik, dalam pertemuan pada 13 Ogos membabitkan Azizulhasni bersama Ketua Program Road to Gold (RTG), Akmal Ahmad Zainuddin, Ketua Program Podium, Halif Asro Ramzi Sulaiman serta Ketua Cawangan Sains Sukan Institut Sukan Negara (ISN), Mohd Izham Mohamad, pelumba itu memaklumkan beliau sudah mula merancang ke arah Olimpik 2028, namun belum memuktamadkan perancangannya.
MSN berkata Azizulhasni ketika pertemuan itu mengemukakan beberapa keperluan, antaranya tambahan perkhidmatan sokongan sains sukan dan perubatan, kemudahan penggunaan fasiliti MSN dan ISN serta pelaksanaan program latihan secara hibrid antara Kuala Lumpur dan Melbourne, Australia.
“MSN dalam pertemuan itu menyatakan persetujuan terhadap semua permohonan itu, termasuk beberapa lagi permintaan tambahan.
“Paling utama, pertemuan itu memperteguhkan lagi sokongan kepada Azizulhasni dan cadangan pemberian geran kepadanya akan diteruskan seperti amalan sebelumnya,” jelas kenyataan itu.
Bukan itu sahaja, MSN turut bersetuju menanggung penyertaan Azizulhasni dalam kejohanan utama seperti Kejohanan Berbasikal Asia dan Kejohanan Berbasikal Dunia secara berpasukan, manakala Taufiq membawa perkara mengenai keperluan serta perancangan sokongan itu ke mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 13 Ogos lalu untuk mendapatkan persetujuan semua ahli lembaga.
MSN kemudian menghantar emel kepada Azizulhasni pada 27 Ogos bagi memuktamadkan perbincangan berkenaan, dengan meminta beliau mengemukakan pelan lengkap program serta anggaran perbelanjaan supaya peruntukan bagi kempen kelayakan Olimpik 2028 dapat disediakan.
Pelan itu merangkumi latihan dan pertandingan sehingga Los Angeles 2028, sasaran prestasi serta laluan kelayakan Olimpik, pembahagian fasa latihan antara Kuala Lumpur dan Melbourne, keperluan jurulatih dan pasukan sokongan, sains sukan dan perubatan, fasiliti, peralatan serta logistik selain anggaran perbelanjaan terperinci bagi setiap tahun pelaksanaan program.
MSN turut menyatakan rasa terkejut dengan kenyataan jurulatih Azizulhasni, John Beasley, baru-baru ini yang mendakwa tiada perbincangan mengenai perancangan masa depan pelumba berusia 38 tahun itu.
Menurut MSN, Azizulhasni sendiri bersetuju pengumuman mengenai program latihannya ke Olimpik 2028 dibuat secara bersama selepas Kejohanan Berbasikal Dunia di Shanghai pada 14 hingga 18 Oktober depan.
MSN menjelaskan pendirian itu dihormati bagi memastikan fokus Azizulhasni tidak terganggu menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 pada September ini, namun laporan media mengenai isu berkenaan menyebabkan badan itu tampil menjelaskan fakta.
MSN menegaskan dakwaan kononnya pihaknya tidak menghiraukan perancangan atau tidak menghargai jasa Azizulhasni adalah tidak bertanggungjawab kerana komitmen dan sokongan terhadap wira berbasikal negara itu kekal teguh.
Semalam Azizulhasni tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan pelbagai perkara berkaitan sukan berbasikal dan misi kelayakan Malaysia ke Sukan Olimpik LA28.
Dalam penjelasan yang dikongsikan menerusi media sosial itu, jaguh berbasikal trek negara berusia 38 tahun berkenaan menegaskan segala perkara yang didedahkan adalah berdasarkan fakta dan bukan auta, selain tidak mempunyai niat lain kecuali mahu melihat kemajuan sukan negara serta memastikan kebajikan atlet lebih terjamin pada masa depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


