'Dakwaan Dr Fie barang peribadinya dicampak tidak benar, fitnah' – Peguam Nubhan

'Dakwaan Dr Fie barang peribadinya dicampak tidak benar, fitnah' – Peguam Nubhan

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan Nubhan Ahamad, 36, mengeluarkan semua barangan milik bekas isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek atau Dr Fie, 35, dari kediaman diduduki wanita itu bersama anak-anaknya kerana penyanyi terbabit bercadang ingin menetap semula di rumah terbabit.

Perkara ini dimaklumkan peguam syarie Mohd Redzuan Ramli yang mewakili Nubhan apabila memaklumkan tindakan dibuat bapa tunggal itu bukan kesalahan undang-undang berikutan kediaman terbabit juga adalah miliknya.

“Nubhan meminta pendapat saya untuk menduduki kembali rumah itu (yang dibeli) atas namanya. Saya menjelaskan bahawa tiada kesalahan dalam undang-undang dan hendaklah dibuat secara baik dan berhemah.

“Saya juga dimaklumkan bahawa tempoh iddah bekas isteri (Dr Afifah) sudah lama selesai atau tamat. Sehingga kini juga Nubhan masih lagi menanggung pembayaran penuh rumah itu berserta bil utiliti.

“Bagaimanapun, saya turut dimaklumkan bahawa proses pengalihan barang-barang peribadi bekas isteri dibuat Nubhan secara kemas dan teratur menggunakan khidmat syarikat angkut yang berdaftar.

“Jadi, dakwaan (Dr Afifah) bahawa barang-barang peribadi dicampak keluar adalah tidak benar dan fitnah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro bagi mendapatkan penjelasan perkara yang berlaku.

Menurut Mohd Redzuan, Nubhan juga menyatakan bahawa terdapat perkara-perkara melanggar undang-undang yang ditemui selepas dia memasuki rumah itu dan akan dibawa dalam kes harta sepencarian.

“Apapun, saya memang dimaklumkan oleh Nubhan bahawa segala proses pengalihan barangan peribadi bekas isteri itu sudah dibuat dengan sangat baik dan cermat.

“Malah, sekiranya ada kecacatan di atas perkara itu (barangan dialihkan), Nubhan akan membayar ganti rugi.

“Nubhan juga pada bila-bila masa bersedia untuk menyedia atau menanggung kos sewaan rumah untuk anak-anaknya yang kini tinggal bersama bekas isteri sekiranya itu yang dimahukan. Manakala bagi anak-anak pula bebas untuk keluar masuk rumah itu tanpa had,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, Nubhan sedang mempertimbang untuk membuat tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang menabur fitnah, membuat spekulasi jahat serta mengapi-apikan isu ini di media sosial.

Semalam, Dr Fie menerusi hantaran dimuatnaik di Threads meluahkan rasa marah dan kecewa apabila mendapati pelbagai barang termasuk barangan peribadi dikeluarkan dari rumah didiaminya.

Dr Fie yang kini bercuti di luar negara berkata, perbuatan berkenaan disifatkan sebagai kejam dan dia berasa sedih diperlakukan sedemikian ketika tidak berada di rumah.

Katanya yang juga seorang doktor gigi, dia juga berasa kasihan terhadap ibu bapanya apabila melihat barangan miliknya berada di rumah keluarga tanpa notis.

Menurut ibu tunggal tiga cahaya mata ini dalam hantaran lain, tangannya juga menggigil ketika menaip kata-kata dalam hantaran dimuatnaik dan berharap pihak berkaitan dapat bersabar untuk proses perbincangan isu harta sepencarian.

Terdahulu pada 26 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam memutuskan Dr Fie mendapat hadanah atau hak penjagaan penuh tiga anak-anaknya.

Manakala pada 2 Disember lalu, Mahkamah Rendah Syariah Sepang memutuskan Nubhan dan Dr Fie sahkan bercerai talak dua.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top