GEORGETOWN : Polis masih menyiasat sama ada berlaku pelanggaran undang-undang oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang didakwa melanggar perintah kuarantin kendiri, baru-baru ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, polis merekodkan keterangan 10 saksi susulan terdapat beberapa laporan terhadap Guan Eng yang didakwa melanggar perintah kuarantin kendiri itu.
“Kita juga telah berhubung dengan Guan Eng dan kini dalam proses siasatan untuk kenal pasti sama ada berlaku pelanggaran undang-undang atau tidak.
“Kita sudah menyoal siasat enam individu yang membuat laporan polis, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, pegawai kesihatan daerah Timur Laut dan pegawai kesihatan Seberang Perai Utara,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pada 8 September lalu, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.
Jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Mohd Aswaad Jaafar mempersoalkan mengapa Guan Eng boleh hadir ke Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 2 September lalu, sedangkan beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.
Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September.
Bagaimananapun, Guan Eng menerusi kenyataan telah menyangkal dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September. – UTUSAN ONLINE