am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) menafikan dakwaan pelancong asing yang mendakwa dihalang mengambil gambar dan dikasari oleh kakitangan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, seperti yang tular di media sosial.
Pengarah JHEAINS Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, dakwaan itu tidak tepat dan hanya berdasarkan cerita sebelah pihak dan menegaskan insiden itu sebenarnya berpunca daripada pelanggaran peraturan yang ditetapkan.
Jumain menjelaskan kumpulan pelancong dari China yang menularkan video terbabit bukan sahaja tidak mematuhi prasyarat dan peraturan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu meskipun sudah diterangkan kepada mereka, bahkan cuba memasuki kawasan larangan yang ditetapkan.
“Pelancong itu yang menolak dada pekerja (Masjid Bandaraya) terlebih dahulu sehingga beliau teranjak ke belakang beberapa langkah, ketika pekerja masjid bertegas dengan bahasa badan, mereka memulakan rakaman dan play victim (berpura-pura menjadi mangsa) dengan kejadian itu.
“Selain saksi pekerja lain dan pemandu pelancong, rakaman litar tertutup (CCTV) masjid juga menjadi bukti nyata kejadian itu. Kami yakin pelancong persendirian itu berniat memanipulasikan keadaan seolah-olah pekerja yang tidak bertatasusila dan tidak menepati piawaian sektor pelancongan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah menggantung tugas pekerja yang ditularkan dalam video terbabit bagi memberikan laluan kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (Motac) dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu untuk melaksanakan siasatan lebih terperinci.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya juga akan meneliti dan menambah baik garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
“Apa yang menjadi masalah adalah pelancong luar yang melancong secara bersendirian. Ini yang saya dan jawatankuasa Masjid Bandaraya Kota Kinabalu akan lihat (meneliti) SOP khusus. Antaranya soal kemahiran komunikasi dan kefahaman budaya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




