am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan nilai kira-kira RM10.2 juta selain wang tunai bernilai RM87,000 dan barang kes bernilai kira-kira RM220,000 disita, susulan siasatan dakwaan rasuah dalam pemprosesan sisa elektronik (e-waste), pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual melalui Op Nature.
Ia hasil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mempergiatkan siasatan terhadap dakwaan itu di Selangor dan Negeri Sembilan.
Sumber berkata, seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM disambung reman bermula hari ini sehingga 30 Januari ini.
Menurutnya, SPRM Negeri Sembilan menahan reman empat individu termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan sejak 20 Januari sehingga, hari ini.
“Sebanyak 16 akaun bank dibekukan membabitkan nilai kira-kira RM10.2 juta. Sejumlah RM87,000 wang tunai juga disita dan barang kes berharga bernilai kira-kira RM220,000 juga turut disita termasuk kereta dan barang-barang kemas.
“Penahanan dan reman termasuk pengarah syarikat serta pegawai Jabatan Alam Sekitar yang disyaki melindungi kilang-kilang memproses e-waste dan juga pembuangan barangan berjadual tanpa melalui proses yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lanjut selepas ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



