am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menafikan dakwaan bahawa ada pihak dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba melindungi kegiatan GISB Holdings (GISBH) seperti yang ditularkan di media sosial.
“Dakwaan itu tidak berasas sama sekali dan berniat jahat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mesej yang tular, hari ini mendakwa terdapat hubungan rapat antara seorang bekas pegawai kanan PDRM dengan kepimpinan GISBH.
Razarudin berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memastikan siasatan berkaitan syarikat itu dijalankan dengan telus, adil dan menyeluruh.
“Polis wajar diberi ruang untuk menjalankan siasatan dan seterusnya membawa sesiapa sahaja yang didapati melanggar undang-undang ke muka pengadilan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengenai mesej yang tular itu, beliau berkata, perkara itu sedang dalam penelitian polis.
“Sebelum ini kita menerima komen mengatakan tindakan kita terhadap GISBH keterlaluan, dan terkini, kita dipersalahkan kerana kononnya melindungi syarikat itu.
“Kami berharap orang ramai dapat memberi masa dan ruang kepada PDRM untuk menyiasat kes ini dengan sebaiknya,” katanya.
Terdahulu, dalam mesej yang ditularkan itu cuba menggambarkan seolah-olah seorang bekas pegawai kanan PDRM mempunyai hubungan baik dengan kepimpinan GISBH, bersama beberapa keping gambar.
Dakwaan itu turut menyebut bahawa bekas pegawai kanan itu mempunyai hubungan dengan pegawai kanan terkini di PDRM dan dikaitkan dengan serbuan polis di beberapa premis GISBH baru-baru ini mendapati premis itu kosong dan ditinggalkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




