Petaling Jaya: Dalam dunia yang semakin dipacu oleh teknologi, dakwah Islam tidak lagi terbatas kepada mimbar masjid, majlis ilmu atau ceramah-ceramah yang dianjurkan. Era digital telah membuka ruang baharu yang luas untuk menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat global. Media sosial, aplikasi mudah alih, laman web dan platform penstriman kini menjadi medan dakwah yang mampu menjangkau jutaan pengguna dalam sekelip mata. Perubahan ini menuntut pendekatan yang lebih kreatif, inklusif dan berstrategi agar mesej Islam terus relevan dan menyentuh hati.
Dakwah merupakan tanggungjawab setiap individu Muslim, tidak semestinya hanya kepada golongan agamawan atau pendakwah profesional. Dalam Surah Ali-Imran ayat 104, Allah SWT menyeru agar wujud dalam kalangan umat Islam satu golongan yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Seruan ini tidak terhad kepada satu bentuk penyampaian sahaja, malah ia terbuka kepada pelbagai medium yang sesuai dengan zaman dan keadaan. Dalam konteks hari ini, setiap pengguna media sosial berpotensi menjadi penyampai dakwah, sama ada melalui perkongsian ilmu, nasihat, atau sekadar menunjukkan akhlak yang baik dalam interaksi harian. Kita mestilah menanamkan sifat dakwah dalam diri tidak kira di mana jua kita berada sebagai seorang Islam.
Islam tidak menolak teknologi. Sebaliknya, ia menggalakkan umatnya untuk memanfaatkan kemajuan demi kebaikan dan kesejahteraan sejagat. Teknologi adalah alat, bukan matlamat. Oleh itu, dakwah digital perlu berlandaskan ilmu yang sahih, adab yang tinggi dan niat yang ikhlas. Penyampaian yang menarik dan bersahaja tidak boleh mengorbankan ketepatan fakta atau kesantunan bahasa. Pendakwah digital perlu bijak menyesuaikan pendekatan agar mesej Islam sampai dengan berkesan tanpa menimbulkan fitnah atau salah faham. Penampilan, gaya komunikasi dan pemilihan topik perlu disesuaikan dengan audiens yang pelbagai latar belakang dan tahap kefahaman.
Namun, dakwah digital tidak terlepas daripada cabaran. Maklumat palsu dan penyelewengan fakta agama seperta hadis, hukum fiqh dan sebagainya mudah tersebar tanpa semakan. Kecaman dan budaya cancel yang semakin menular boleh menjejaskan semangat pendakwah, terutamanya yang baru berjinak-jinak dalam dunia maya. Persaingan dengan kandungan hiburan yang melalaikan juga menyebabkan mesej dakwah sukar menembusi perhatian pengguna. Tambahan pula, masih ramai pendakwah yang kurang mahir dalam literasi media, menyebabkan mereka gagal memanfaatkan sepenuhnya potensi platform digital. Ada juga yang terjebak dalam polemik politik atau perbalahan mazhab secara terbuka, yang akhirnya mencemarkan kesucian risalah Islam. Perkara seperti ini sepatutnya perlu dibendung bukan dirumitkan lagi.
Untuk memastikan dakwah digital terus relevan dan berkesan, pendekatan yang lebih sistematik dan bersepadu perlu dilakukan. Latihan media dan komunikasi untuk pendakwah amat penting agar mereka mampu menghasilkan kandungan yang berkualiti, menarik dan beretika. Kolaborasi antara institusi agama dan penggiat media boleh menghasilkan program dakwah yang profesional dan berimpak tinggi. Pembangunan aplikasi Islamik yang interaktif seperti e-Quran, e-Fiqh dan platform tanya ustaz secara langsung juga boleh menjadi alternatif yang menarik kepada generasi muda. Bahasa yang digunakan dalam dakwah digital perlu mesra, inklusif dan tidak bersifat menghukum, agar mesej Islam dapat diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan bukan Islam.
Generasi muda memainkan peranan penting dalam dakwah digital. Mereka merupakan pengguna utama media sosial dan teknologi digital pada zaman kini. Oleh itu, mereka perlu digalakkan untuk menjadi agen dakwah yang kreatif dan berwibawa. Program latihan, bengkel media Islam dan sokongan moral perlu diberikan agar mereka berani tampil sebagai pendakwah digital yang beretika dan berilmu. Pendekatan yang segar dan bersahaja, seperti yang ditunjukkan oleh beberapa tokoh muda di YouTube dan podcast, berjaya menarik minat golongan muda yang sebelum ini kurang terdedah kepada ilmu agama. Ini membuktikan bahawa dakwah boleh disampaikan dalam pelbagai bentuk, asalkan ia berlandaskan prinsip Islam yang sebenar.
Salah satu kelebihan dakwah digital ialah kemampuannya menyatukan umat Islam merentasi sempadan geografi dan budaya. Melalui platform maya, umat Islam dari pelbagai negara boleh berkongsi ilmu, pengalaman dan pandangan secara terbuka. Ini membuka ruang kepada dialog antara mazhab, pemahaman yang lebih luas dan semangat ukhuwah yang lebih kukuh. Namun, kesatuan ini hanya dapat dicapai jika dakwah digital dilaksanakan dengan hikmah, toleransi dan rasa hormat terhadap kepelbagaian. Pendakwah perlu mengelak daripada menyebarkan fahaman sempit atau mengutuk pihak lain secara terbuka, kerana ia boleh menimbulkan perpecahan dan permusuhan.
Era teknologi bukan ancaman kepada Islam, tetapi peluang untuk menyebarkan cahaya hidayah kepada lebih ramai insan. Dakwah digital adalah medan jihad ilmu yang memerlukan kesungguhan, hikmah dan keikhlasan. Semoga usaha ini menjadi saham akhirat yang berpanjangan, dan menjadikan dunia maya sebagai taman ilmu yang subur dengan nilai-nilai Islam. Umat Islam perlu melangkah ke hadapan dengan yakin, memanfaatkan teknologi untuk menyebarkan kebaikan dan membina masyarakat yang berakhlak, berilmu dan berkasih sayang. Dakwah digital bukan sekadar trend, tetapi satu amanah besar yang menuntut komitmen dan kebijaksanaan.
Oleh: Muhammad Zul Ikram Bin Mohd Zulraidi
Pelajar Jabatan Sejarah, Tamadun dan Pendidikan Islam
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya



