Dakwah perlu disampaikan melalui bahasa difahami khalayak

Dakwah perlu disampaikan melalui bahasa difahami khalayak

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Penyampaian ilmu dan dakwah Islam perlulah dilaksanakan menggunakan bahasa yang difahami oleh golongan sasar supaya ia dapat dihayati dan difahami.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar, berkata ada keperluan untuk sukarelawan dakwah untuk memahami keadaan dan kemampuan khalayak atau golongan sasar dakwah yang ingin disampaikan.

Beliau berkata, pengajaran ayat empat surah Ibrahim menyebut seseorang rasul itu tidak akan diutuskan kepada kaumnya melainkan dakwah itu disampaikan menggunakan bahasa kaum berkenaan untuknya menyampaikan dan menjelaskan ajaran Allah SWT kepada mereka.

“Harapan saya kepada sukarelawan untuk mengambil kira ajaran Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat keempat yang bermaksud, sebelum kita mahu berdakwah, kita perlu melihat sasaran kita terlebih dahulu, bahasa yang digunakan.

“Sebab itu ada kata-kata sahabat Rasullulah SAW, bila kita mahu bercakap dengan seseorang itu, kita perlu bercakap dengan mengikut akal dan kemampuan orang itu berfikir,” katanya ketika merasmikan Himpunan Sukarelawan Dakwah MABIMS (HiSDAM) 2025, di sini, hari ini.

Malah, Mohd Na’im berkata, ada sahabat Rasullulah SAW, Abdullah Mas’ud yang meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW sentiasa memilih masa yang sesuai untuk memberi nasihat kepada sahabat kerana bimbang timbul kebosanan dalam kalangan mereka.

Pada masa sama, Mohd Na’im berkata, kalangan sukarelawan dakwah juga perlu menghayati ilmu agama yang didalami serta mendidik diri sendiri untuk menjadi insan yang berakhlak sebelum mereka mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai pekerti mulia.

Beliau berkata, seperti mana yang dibawakan melalui gagasan Malaysia Madani yang dibawakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, umat Islam yang mahu dibentuk adalah dalam kalangan mereka yang mempunyai pelbagai nilai-nilai yang sangat dekat dengan masyarakat Islam termasuk hormat, kesejahteraan ihsan serta daya cipta.

Katanya, Perdana Menteri sendiri banyak menyebut dan mengingatkan anggota Kabinetnya untuk memastikan apa saja bentuk pembangunan yang mahu dilaksanakan, ia perlu selari dengan kepentingan melahirkan masyarakat yang melaksana dan menghayati nilai-nilai akhlak terpuji.

“Yang Amat Berhormat sering menyebut, ‘jangan kita lahirkan orang yang cintakan ilmu sehingga menjadi ilmuan yang bagus tetapi akhlaknya tidak ada’.

“Beliau menyebut bagaimana nak melahirkan masyarakat termasuk mereka yang ada sifat untuk membantu orang lain dalam kalangan sukarelawan tetapi dalam masa yang sama sukarelawan ini memiliki budi pekerti dan akhlak yang terpuji,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top