“Saya maafkan guru berkenaan. Untuk hal selebihnya, saya serahkan kepada polis bagi siasatan lanjut.”
Itu luahan Mohd Azaudin Abdullah, 43, bapa kepada pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin yang maut selepas dipercayai dirempuh kenderaan dipandu seorang guru wanita di hadapan surau Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjong Mas, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.50 tengah hari itu, seorang lagi pelajar turut terlibat dan mengalami kecederaan parah sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan lanjut, lapor Harian Metro.
Azaudin yang juga bapa kepada empat anak berkata, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap insiden tersebut.
“Sebagai seorang bapa, saya sudah memaafkan guru itu dan saya reda dengan apa yang berlaku kepada anak saya serta keluarga kami.
“Masa saya sampai di lokasi semalam dan nampak anak saya terbaring tidak bernyawa, saya hanya tanya siapa yang melanggar. Guru itu sendiri mengaku dia yang terlibat.
“Tapi saya tidak marah atau berkata apa-apa. Saya hanya diam,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Azaudin turut memaklumkan majlis tahlil dijangka diadakan di surau berhampiran kediamannya di Kampung Chepa, malam ini.
Sementara itu, guru wanita berusia 57 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut telah direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah untuk membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber / Kredit Foto: Harian Metro / BH Online




