georgie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Walaupun tenaganya tidak seperti dulu lagi, penyanyi kumpulan legenda, Allyecats iaitu Datuk David Arumugam, 75, tetap mendapat permintaan tinggi untuk menjayakan persembahan pentas.
Bagaimanapun, pengurus yang juga adiknya Lingam berkata, pihaknya enggan menekan David untuk melakukan lebih banyak persembahan kerana faktor usianya.
“Untuk setakat sampai hujung tahun ini, ada enam persembahan membabitkan David. Kalau ikutkan, sebenarnya banyak lagi tawaran tapi kami terpaksa hadkan kerana faktor usianya.
“Kalau buat persembahan, paling lama dia boleh bertahan kira-kira satu jam. Kadang-kadang 45 minit atau setengah jam saja dan terpulang juga kepada permintaan penganjur.
“Tawarannya merangkumi persembahan untuk majlis makan malam, konsert dan lain-lain. Bulan depan pun dia beraksi di acara Legend Otai di Pengerang, Johor,” katanya.
Lingam berkata, dia bersyukur kerana dia tidak menghidap sebarang penyakit kronik. Cuma kakinya agak lemah, tetapi apabila naik ke pentas ‘roh’ penghiburnya terus membara.
“Dia tiada masalah penyakit serius, cuma kaki dan tangannya saja lemah kerana faktor usia. Percakapannya pun agak sedikit terhad dan mengalami masalah mulut kering, tapi itu bukan masalah besar pun.
“Kalau sekali dia naik pentas, terus berubah dan boleh nampak betapa dia selesa serta nyanyiannya tiada masalah. Dia memang sangat komited untuk terus hidupkan nama Alleycats.
“Ini kerana dia memegang janji terhadap mendiang adiknya Loga yang berpesan untuk teruskan legasi itu walaupun mendiang sudah tiada,” katanya.
Lingam berkata, David juga menetap dengannya kerana anggota keluarga David tiada di Malaysia. Semua anak-anaknya berada di luar negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd




