asmaini@mediaprima.com.my
RUMAHKU syurgaku!
Meskipun saiz binaan hanya seluas 774 kaki persegi, namun rumah comel milik Nor Rahini Mohd Ikhsan, 41, ini tetap menawarkan daya tarikan tersendiri.
Rumah setingkat yang memiliki tiga bilik tidur dan dua bilik air itu mempunyai idea penataan dalaman ringkas dengan gaya minimalis.
Menurut Nor Rahini, rumah yang terletak di Batu Pahat, Johor itu direka sendiri olehnya dan suami, diduduki pada Disember 2023.
Katanya, dia memilih gaya minimalis untuk memastikan segenap ruang dalam rumahnya itu tidak terlalu sarat dengan barangan.
“Rumah ini dihias mengikut sedap mata memandang dengan mengutamakan konsep dekorasi minimalis.
“Konsep itu bukan sahaja menyajikan persekitaran tenang, malah tidak berlebihan menggunakan ruang.
“Menerusi gabungan penggunaan warna cerah dan pencahayaan yang tepat, ruang kecil pun boleh terasa lebih luas serta selesa,” katanya.
Nor Rahini berkata, kekangan keluasan rumah juga mendorong dia memilih rekaan perabot bersaiz sederhana.
Ini kerana dia lebih mengutamakan keselesaan ahli keluarga dan mahukan rumah yang tampak lebih luas.
Kata Nor Rahini, tumpuan dekorasi rumahnya lebih tertumpu kepada ruang tamu dan tempat makan seisi keluarga.
“Ruang tamu dan ruang makan adalah dua ruang penting untuk seisi keluarga berkumpul, jadi dekorasinya perlu lebih menarik.
“Selain itu, ruang tamu juga adalah tempat kegemaran saya sendiri untuk bersantai dan melepaskan lelah selepas pulang dari pejabat.
“Untuk menyerlahkan lagi dekorasi, saya dan suami turut menggunakan hiasan panel ‘fluted’ pada dinding utama,” katanya.
Kata ibu dua anak yang juga kerani itu lagi, tiga rona utama menjadi pilihan mereka seisi keluarga iaitu hitam, putih dan coklat.
Ia menjadi pilihan kerana rona itu mudah disuai padan dengan pelbagai jenis perabot.
Katanya, sebelum menyiapkan rumah itu, dia banyak mendapatkan inspirasi dan idea daripada media sosial serta kumpulan peminat dekorasi di Facebook.
“Agak mencabar juga sebenarnya untuk menyuai padan perabot dan dekorasi yang sesuai disebabkan kekangan ruang.
“Ini kerana rekaan perabot pilihan bukan sahaja perlu minimalis, tetapi juga praktikal.
“Untuk itu, perabot jenis berkaki dan berwarna cerah jadi pilihan bagi menyerlahkan lagi ruang supaya lebih luas,” katanya.
Sementara itu, bagi memastikan rumahnya kekal terjaga, Nor Rahini turut mempunyai rutin penjagaan tersendiri.
Kata Nor Rahini, kesibukan kerja harian menyebabkan ada ketika dia hanya berpeluang mengemas pada hujung minggu.
“Sesibuk mana sekali pun, saya sekeluarga pastikan rumah ini sentiasa kemas dan bersih.
“Tidak kira kecil atau besar, rumah yang bersih terjaga dapat memberikan kehidupan lebih selesa kepada penghuni,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd