Berbaki kira-kira dua minggu sebelum menamatkan perkhidmatan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan komitmen beliau untuk terus memastikan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng dapat dikembalikan kepada rakyat.
Pastikan dana 1MDB dikembalikan kepada rakyat
Memetik laporan daripada Berita Harian, keyakinan itu turut disokong dengan kejayaan terkini SPRM memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan kira-kira AS$1.7 juta di Barbados yang dikaitkan dengan dana berkenaan.

Sifatkan satu tanggungjawab besar
Azam berkata usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, sebaliknya satu tanggungjawab besar untuk melindungi kepentingan kewangan negara dalam keadaan ekonomi global yang mencabar.
“Tindakan ini (perintah mahkamah) mencerminkan komitmen berterusan SPRM dalam memastikan setiap dana yang diseleweng dapat dijejaki dan dikembalikan kepada negara.
“Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini, termasuk ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat, usaha pemulihan aset bukan sekadar tindakan penguatkuasaan, tetapi satu tanggungjawab untuk melindungi kepentingan kewangan negara.
“Setiap ringgit yang berjaya dipulihkan adalah hak rakyat Malaysia dan akan terus diperjuangkan,” katanya.
SPRM akan perkukuh kerjasama antarabangsa
Beliau turut menegaskan SPRM akan terus memperkukuh kerjasama antarabangsa serta menggunakan saluran perundangan sedia ada bagi mengesan, membekukan dan melucutkan aset yang disembunyikan di luar negara.

Semalam, SPRM memaklumkan pihaknya memperoleh perintah larangan transaksi membabitkan wang kira-kira AS$1.7 juta yang disimpan dalam dua akaun di Barbados selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berpuas hati ia berkait aktiviti pengubahan wang haram di bawah AMLATFPUAA 2001.
Azam dijadual menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei ini selepas tiga dekad berkhidmat, dengan rekod pemulihan aset termasuk RM2.3 bilion dana 1MDB, sebelum digantikan oleh Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.
Sumber: Berita Harian (Ilah Hafiz Aziz)



