Dana RM100 juta masih kecil, MARA-DPMM perkukuh GEMA bantu usahawan Bumiputera

Dana RM100 juta masih kecil, MARA-DPMM perkukuh GEMA bantu usahawan Bumiputera

KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) sepakat memperkukuh kerjasama melalui program Gerakan EkoNiaga Madani (GEMA) bagi melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera berdaya saing serta berupaya merebut peluang projek berskala besar.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, dana RM100 juta yang diperuntukkan kerajaan tahun lalu terlalu kecil berbanding tanggungjawab besar agensi itu membantu usahawan Melayu.

Jelasnya, peruntukan itu hanya mampu membantu sekitar 60,000 usahawan atau 10 peratus daripada keseluruhan kira-kira 600,000 usahawan Bumiputera di negara ini.

“Kalau kita lihat, MARA adalah agensi yang diberikan tanggungjawab begitu besar, terutamanya dalam melahirkan dan membantu usahawan Bumiputera. Ramai menganggap bantuan kepada usahawan itu seharusnya datang daripada MARA.

“Namun, dengan dana yang kecil, sukar untuk kita memenuhi harapan besar ini. Jika diberikan dana lebih besar, lebih banyak inisiatif dan aktiviti dapat dilaksanakan untuk membantu usahawan Melayu,” katanya ketika ditemui selepas program Pemerkasaan Strategik GEMA DPMM di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling pada Isnin malam.

Zulfikri Osman. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Zulfikri Osman. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Zulfikri menjelaskan, sebahagian besar dana RM100 juta itu digunakan untuk membantu kontraktor melalui skim pembiayaan kontrak (contract financing) yang dilaksanakan secara bergilir (revolving).

Bagaimanapun, katanya, jumlah itu tetap terlalu kecil berbanding dengan jumlah usahawan yang perlu dibantu di seluruh negara.

Sementara itu, Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon berkata, GEMA adalah platform yang menyokong gagasan Ekonomi Madani diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta agenda Putera 35 bagi meningkatkan taraf ekonomi usahawan Melayu.

“Melalui GEMA, kami menubuhkan 10 konsortium melibatkan sektor solar, tenaga boleh diperbaharui, telekomunikasi, kayu kayan, pembinaan dan lain-lain.

“Konsep konsortium ini membolehkan usahawan kecil turut sama merasai peluang projek besar dengan sokongan ‘anchor’ daripada kalangan ahli dewan yang berjaya. Setiap konsortium akan dianggotai sekurang-kurangnya 10 syarikat,” ujarnya.

Menurut beliau, gabungan syarikat dalam satu konsortium membolehkan modal dikumpulkan dengan lebih banyak, manakala kemahiran serta pengalaman dapat digabungkan untuk memperkukuh daya saing.

Zulfikri (lima dari kanan) dan Norsyahrin (lima dari kiri) bergambar bersama tetamu yang hadir pada program Agenda Pemerkasaan Strategik GEMA DPMM – MARA 2025 di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

Zulfikri (lima dari kanan) dan Norsyahrin (lima dari kiri) bergambar bersama tetamu yang hadir pada program Agenda Pemerkasaan Strategik GEMA DPMM – MARA 2025 di Anjung Melayu, Jalan Bukit Petaling pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

“Dengan cara ini, tiada usahawan yang tercicir sama ada kecil atau besar. Malah, sudah ada konsortium yang berjaya memperoleh projek besar. Kami juga akan mengadakan jelajah ekonomi ke seluruh negara bagi mengenal pasti peluang dan permasalahan usahawan,” ujarnya lagi.

Norsyahrin berkata, kerjasama DPMM dengan MARA akan memperkukuh pelaksanaan GEMA kerana agensi itu mempunyai ekosistem lengkap daripada latihan hingga pembiayaan.

“Sudah sampai masanya diwujudkan sekretariat bersama antara DPMM dan MARA bagi melengkapkan rangkaian ekoniaga Melayu. Apabila dua entiti ini bergabung, hasilnya pasti lebih baik,” ujarnya.

Katanya, DPMM kini mempunyai hampir 30,000 usahawan di seluruh negara selain bergabung dengan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) yang turut menghimpunkan pelbagai persatuan ekonomi.

“Kami bukan hanya memberi manfaat kepada ahli DPMM semata-mata, tetapi juga kepada usahawan yang berada di bawah persatuan ekonomi di seluruh negara,” tambahnya.

Scroll to Top