KUALA LUMPUR: Peruntukan RM50 juta yang dikhaskan untuk Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi pelbagai tujuan termasuk penyelenggaraan dan pembaikan lif disifatkan sebagai berorientasikan masyarakat dan berfokuskan kepada keperluan mereka.
Pensyarah di Pusat Kajian Pembangunan, Sosial dan Persekitaran, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Novel Lyndon, berkata dari perspektif sosiologi, belanjawan yang diperuntukkan ini adalah berfokuskan kepada keperluan komuniti.
Katanya, inisiatif ini amat dekat dengan jiwa atau denyut nadi komuniti yang kebanyakannya dalam kelas sosial menengah dan bawahan.
Rata-rata komuniti tinggal di kawasan PPR adalah masyarakat yang bergantung sepenuhnya dengan sektor industri dan perkhidmatan. Dengan erti kata lain, mereka ini sering kali dilabelkan sebagai masyarakat miskin bandar.
Justeru, belanjawan ini penting kerana ia akan membantu mengurangkan kesenjangan antara komuniti bandar, merapatkan jurang digital atau maklumat, meningkatkan kuasa beli, membolehkan mereka (komuniti) membuat tabungan dan mengelakkan mereka daripada mengalami defisit pendapatan.
“Selain itu, melalui peruntukan ini yang termasuk penyediaan akses Internet di kawasan PPR, ia juga meningkatkan keupayaan komuniti untuk menjalankan aktiviti sampingan melalui perniagaan dalam talian. Pada masa sama, mengukuhkan fungsi keluarga dalam mendapatkan keperluan makanan, keselamatan dan tahap kesihatan keluarga,” katanya kepada BH.
Novel berkata, dari perspektif sosiologi, inisiatif atau manfaat yang diberikan ini akan membantu mengurangkan ketaksamaan sosial dan meningkatkan ruang mereka untuk melakukan mobiliti sosial menegak.
Katanya, pada masa sama, proses sosialisasi secara digital antara masyarakat merentasi kelas sosial turut berlaku dan ini meningkatkan interaksi dalam struktur sosial masyarakat yang pelbagai, lazimnya dikawal oleh aspek budaya serta agama.
Beri impak positif
Dr Muhammad Azwan Sulaiman, Pensyarah Kanan Bidang Harta Tanah, Kolej Pengajian Alam Bina UiTM, Shah Alam.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Bidang Harta Tanah, Kolej Pengajian Alam Bina Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Dr Muhammad Azwan Sulaiman, berkata bantuan kepada komuniti di kawasan PPR ini memberi impak positif di mana kawasan itu kebanyakannya mengalami pelbagai masalah yang berpunca daripada aspek penyelenggaraan dan kemudahan bangunan yang tidak memuaskan.
Katanya, menerusi peruntukan diberikan oleh kerajaan, isu-isu yang sering terjadi di PPR seperti kerosakan lif, bangunan kelihatan usang, taman permainan dan fasiliti gunasama yang tidak dapat digunakan atau rosak dapat dibaik pulih serta digunakan.
“Isu sebenar yang berlaku di PPR adalah ketidakseimbangan taraf hidup dalam kalangan penghuni. PPR tidak diselenggara dengan baik, dan ini umumnya disebabkan caj penyelenggaraan tidak dibayar oleh sesetengah penghuni.
“Kemungkinan ini bukanlah pilihan mereka, tetapi ada perkara yang mereka perlu utamakan, berbanding membayar caj penyelenggaraan itu.
“Oleh itu, bantuan sebegini sememangnya mampu meringankan beban komuniti yang juga mengharapkan mereka mendapat kemudahan yang sepatutnya tanpa dibebani dengan kos tambahan,” katanya.
Tambah beliau, menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2023, kerajaan juga akan memberikan perkhidmatan Internet percuma di kawasan umum PPR dan ini membuka ruang kepada komuniti untuk memanfaatkan kemudahan bagi tujuan pembelajaran dan perkhidmatan.
Katanya, sebelum ini, banyak laporan yang menyatakan masih wujud golongan yang tidak mendapat akses Internet, jadi dengan adanya Internet percuma ini, mereka tidak lagi ketinggalan dengan arus perkembangan semasa.

Mengulas lanjut berkenaan peruntukan Belanjawan 2023, bagi komuniti PPR, Muhammad Azwan berkata, sebelum ini, banyak kes berlaku di kawasan PPR yang mengundang permasalahan sosial di kawasan terbabit seperti tekanan perasaan disebabkan suasana di PPR tidak kondusif.
“Sebagai contoh, suatu kawasan PPR alami kerosakan lif, mereka terpaksa mengguna tangga setiap hari dan bayangkan mereka yang berada pada tingkat paling atas, untuk kanak-kanak atau orang berusia pastinya terkesan.
“Sebelum ini, mungkin disebabkan kawasan itu kelihatan usang dan buruk serta boleh menjadi kawasan penyebaran penyakit berjangkit, pasti orang ramai akan mengelak untuk berkunjung di kawasan terbabit.
“Justeru, dengan kawasan persekitaran yang diselenggarakan dengan baik, ia berupaya memberi imej menarik sekali gus mampu menjadi daya penarik dan merancak sektor ekonomi di sekitar kawasan PPR terbabit,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
