Dana STAR bantu karyawan seni kembali aktif – Harun Hashim

Dana STAR bantu karyawan seni kembali aktif – Harun Hashim

mohamadridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Saya harap penerbit yang diberi kepercayaan menerbitkan supertele dari Dana Supertelefilem Bintang Veteran (STAR) akan panggil saya untuk berlakon,” kata pelakon Harun Hashim.

Harun, 69, berkata, dia sudah lama tidak ditawarkan berlakon dan berharap peluang ini diberikan kerana dia amat rindu berada di lokasi.

“Kali terakhir saya berlakon adalah menerusi telefilem Bilal Dan Abah yang disiarkan menerusi TV Alhijrah pada Aidiladha dulu. Selepas itu dah tiada lagi tawaran.

“Mungkin penerbit tak ambil saya berlakon kerana ingat saya terlantar sakit. Memang saya ada sakit kencing manis dan darah tinggi, tapi taklah sampai terbaring.

“Sebagai anak seni, saya memang nak berlakon kerana selain menjadi sumber pendapatan, ia juga jadi terapi buat saya menghilangkan rasa sakit,” katanya kepada Harian Metro.

Harun yang pernah berlakon pelbagai watak termasuk hero pada era 1990-an, berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana memperkenalkan Dana STAR.

“Dah tentu ia disambut baik oleh pelakon berusia 55 tahun ke atas termasuk veteran seperti saya. Peluang kami untuk berlakon sekarang semakin hilang.

“Kalau ada pun, hanya tampil dalam beberapa babak sebagai pelengkap drama. Tapi menerusi Dana Star, barisan pelakon yang terbabit adalah 60 peratus.

“Saya bukanlah berharap nak dapat watak hero ataupun yang hebat-hebat. Cukuplah sekadar ditawarkan berlakon,” kata Harun yang mula berlakon sejak tahun 1976.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac menjelaskan Dana Star sememangnya dikhususkan untuk pelakon berusia 55 tahun ke atas.

Malah, dia turut mengumumkan watak utama dan pembantu akan digalas oleh pelakon veteran.

Katanya, FINAS membuka permohonan Dana Star bermula 29 Ogos hingga 7 September ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top