Dana tambahan RM100 juta untuk bantu rakyat Gaza, Palestin

Dana tambahan RM100 juta untuk bantu rakyat Gaza, Palestin

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dana tambahan RM100 juta diperuntukkan kerajaan bagi disalurkan kepada negara bergolak, Palestin sebagai lambang solidariti kepada rakyat negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu sebagai tambahan kepada dana bantuan yang pernah diumumkan kerajaan Madani baru-baru ini.

Katanya, beliau khususnya dan rakyat Malaysia amnya sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin menentang kekejaman rejim Zionis yang disifatkannya sebagai ‘haiwan’ yang tidak berhati perut.

“Saya juga mengajak rakyat, syarikat, pedagang dan korporat besar di negara ini supaya turut menyalurkan bantuan, kita sudah aman dan makmur, maka bantulah saudara-saudara kita yang sedang ditindas.

“Apa jenis manusia yang sanggup menutup pintu sempadan, sehingga makanan tidak dapat masuk, ubat-ubatan disekat, dan rakyat dibiarkan kebuluran? Itu bukan manusia, itu kezaliman!,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka, di sini, hari ini, yang dihadiri ribuan pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam ucapannya Anwar turut membidas tindakan Israel malah menggelar pemimpin Israel sebagai ‘tidak siuman’ kerana membenarkan perbuatan terlalu kejam berlaku dan menyelar negara barat yang hipokrit.

“Saya masih ingat, di zaman Yasir Arafat dahulu, persidangan demi persidangan diadakan. Hari ini, saya bertanya kepada pemimpin negara Eropah, Amerika dan lain-lain.

“Apakah kita boleh menerima penjajahan? Mengapa pembunuhan anak-anak kecil dan wanita di Gaza diizinkan? Adakah hanya kerana mereka beragama Islam, hanya kerana identiti Palestin mereka, maka penindasan ini dianggap halal?

“Itu persoalan kita, tetapi jawapan mereka hanya satu, ‘Hamas’. Padahal kita tahu apa yang berlaku ini bukan soal Hamas semata-mata, tetapi kezaliman berpuluh tahun lamanya,” katanya.

Mengulas mengenai bulan kemerdekaan, beliau menegaskan perjuangan rakyat Palestin akan berakhir dengan kemenangan seperti mana negara-negara Asia Tenggara bangkit menentang penjajah satu ketika dahulu.

Katanya, sebagai sebuah negara dan individu merdeka, beliau menolak kezaliman, keganasan, pembunuhan ke atas wanita dan kanak-kanak yang berlaku di depan mata dunia.

“Pada malam ini kita bukan sahaja memperingati perjuangan umat Islam di Gaza dan Palestin, tetapi juga merasai penderitaan yang mereka tanggung.

“Mana mungkin sebuah negara merdeka berbicara soal hak asasi dan keadilan rakyat, sedangkan anak-anak kecil dan wanita terus dibunuh.

“Dunia melihat, tetapi sistemnya pincang. Ini bukan persoalan satu hari, seminggu, sebulan atau setahun, penderitaan ini telah berlaku sejak puluhan tahun,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top