Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas dakwaan seorang ulama yang mengatakan kenaikan harga minyak hanya berlaku di Malaysia, malah menyifatkan pandangan itu sebagai tidak tepat dan boleh mengelirukan rakyat.
Pandangan tidak betul
Memetik laporan daripada Sinar Hanrian, kenyataan dibuat oleh Anwar itu dibuat ketika beliau berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan pada Khamis.
“Ada ulasan dari ulama terkenal yang ada banyak pengikut, berpandangan umpamanya dengan menyatakan ia (kenaikan minyak) tidak betul. (Pandangan) minyak tidak naik di negara lain (hanya) naik di Malaysia sahaja.
“Itu kedangkalan ilmu yang diselubungi oleh pandangan agama dan al-Quran, membuatkan orang percaya. Ia tidak membantu, malah mengelirukan,” katanya.

Presiden PAS Persoal kenaikan harga minyak
Terdahulu, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung yang menurutnya tidak dikenakan di Sabah dan Sarawak serta mendakwa ia tidak mempunyai asas kukuh.
Menerusi tulisan ‘Minda Presiden PAS’, beliau turut menyatakan alasan ketegangan geopolitik di Timur Tengah termasuk isu Selat Hormuz tidak wajar dijadikan justifikasi kepada rakyat di Semenanjung.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan kenaikan harga minyak berpunca daripada peningkatan kos termasuk insurans yang meningkat lebih 100 peratus bagi membawa bahan api ke negara ini.
“Kos minyak lama sebelum perang tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang (Johor),” katanya.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan harga diesel di Semenanjung naik 70 sen manakala petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi meningkat 40 sen di seluruh negara.
Harga baharu menyaksikan RON97 ditetapkan pada RM5.35 seliter dan RON95 pada RM4.27 seliter, berdasarkan purata harga minggu sebelumnya.
Sumber: Sinar Harian (Diana Azis)




