'Dani dan Dhawi 'harta' yang saya ada'

'Dani dan Dhawi 'harta' yang saya ada'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tidak hanya mencari rezeki malah lelaki ini juga perlu menguruskan dua anak dengan salah seorang berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) Cerebral Palsy (CP).

Biarpun tak mudah kerana ada komitmen kerja, Mohd Asfa Danial Hanizam, 28, yang berasal dari Felda Tenggaroh, Mersing, Johor cuba menggalas tanggungjawab sebaiknya selepas berpisah dengan bekas isteri, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohd Asfa Danial tidak mampu menyewa rumah sebaliknya hanya bilik di Larkin kerana baru mula bekerja sebagai buruh binaan di sebuah syarikat dekat Skudai, di sini, sejak 1 Julai lalu dengan gaji pokok RM2,000.

Bercerita lanjut, Mohd Asfa Danial berkata, dia sebelum ini bekerja sebagai penyelia di ladang sawit, Segamat.

Disebabkan tuntutan kerja, Mohd Asfa Danial berpindah ke sini, bagi memudahkan urusan anak istimewanya, Muhammad Dani Niyaz, 6, yang perlu menjalani rawatan fisioterapi setiap dua minggu sekali diikuti bahagian pemakanan, kerusi roda dan kasut pada hari berlainan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), dekat sini.

“Dulu setahun juga emak jaga anak saya waktu saya kerja di sini dan setiap minggu balik kampung sebelum dapat kerja di Segamat.

“Tapi disebabkan anak masih perlu menjalani rawatan, saya terpaksa cari kerja di sini dan syukur dapat kerja serta mula bertugas awal bulan ini.

“Cuma saya baru kerja, tiada simpanan kerana gaji pun belum dapat jadi hanya mampu sewa bilik saja untuk permulaan tapi saya tiada pilihan melainkan upah pengasuh untuk jaga anak waktu saya keluar bekerja dan mujurlah kawan pinjamkan kereta untuk ke tempat kerja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohd Asfa Danial berkata, dia sangat menyayangi Muhammad Dani Niyaz dan anak bongsunya, Muhammad Dhawi Nadhif, 5, kerana mereka ‘harta’ yang dia ada.

Bagaimanapun, Mohd Asfa Danial perlu memberi lebih perhatian kepada anak istimewanya, Muhammad Dani Niyaz yang tidak dapat berdikari kerana CP.

“Waktu bekas isteri hamil, doktor pernah sarankan untuk gugurkan kandungan tapi saya minta bekas isteri bertahan.

“Selepas dilahirkan pun, doktor kata anak saya itu boleh hidup paling lama lima bulan tapi saya berdoa semoga Allah SWT panjangkan umurnya.

“Alhamdulillah, anak masih bertahan sampai hari ini dan tak pernah sekali pun saya berasa terbeban dengannya. Buat masa ini, saya akui tak dapat beri anak kesenangan tapi usaha cari rezeki kerana nak mereka ada depan mata,” katanya yang belum mampu membelikan susu khas buat anak istimewanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank bernombor 27951037826 atas nama Mohd Asfa Danial Hanizam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top