Serdang: Ratusan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) ceria dan tidak melepaskan peluang mendapat minyak hitam percuma menerusi Program Infaq 1,000 botol minyak hitam di di Dataran Merpati, di sini, anjuran Dania Garage.
Pegawai Operasi Dania Garage, Mohammad Muizz Mohd Munawir berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dilaksanakan bagi membantu golongan penuntut yang berdepan kekangan kewangan, khususnya membabitkan kos penyelenggaraan motosikal.
Menurutnya, lebih 1,000 botol minyak hitam diagihkan hasil kerjasama strategik bersama Petronas Sprinta dan pasukan teknikal Abang Minyak Hitam Jalanan.
“Saya sendiri pernah bergelar pelajar, jadi saya faham tidak semua mampu untuk menampung kos penyelenggaraan motosikal atau kereta. Program ini adalah antara cara kami menyumbang kepada komuniti, walaupun sedikit.” katanya.
Tambah Muizz, UPM menjadi lokasi pertama pelaksanaan program itu memandangkan universiti berkenaan menunjukkan minat tinggi sebaik sahaja program diumumkan.
“Respon dari pihak UPM amat positif dan pantas. Maka kami memilih untuk memulakan inisiatif ini di sini. Sekiranya terdapat permintaan serta kerjasama dari universiti atau agensi lain, kami sedia perluaskan pelaksanaannya ke seluruh negara,” ujarnya.
Jelasnya lagi, pembabitan Petronas Sprinta turut membantu melancarkan pelaksanaan program itu.
Program kali ini adalah inisiatif infaq kedua dianjurkan pihaknya, selepas pelaksanaan pertamanya dua tahun lalu.
Sebelum ini, Dania Garage juga pernah menganjurkan program CSR tayar Rahmah yang tular sebelum ini.
“Kami tak terlalu mengira jumlah perbelanjaan. Prinsip kami mudah apabila kita bantu orang, insya-Allah rezeki akan datang dengan sendirinya,” ujar Muizz yang turut menyeru lebih ramai peniaga dan pengusaha tempatan mencontohi usaha sedemikian sebagai sebahagian daripada budaya perniagaan yang membawa impak serta manfaat kepada masyarakat.
Daripada jumlah keseluruhan itu, seramai 65 pelajar terawal turut menerima khidmat pemasangan minyak hitam secara percuma yang dijalankan oleh pasukan Abang Minyak Hitam Jalanan, manakala selebihnya membawa pulang sumbangan untuk digunakan kemudian.
Sementara itu, Pengasas Abang Minyak Hitam Jalanan, Mohd Yusof Mohd Noor, turut menyuarakan komitmen pihaknya untuk meneruskan kolaborasi strategik bersama Dania Garage.
“Kami sentiasa bersedia untuk membantu. Harapan kami, program seperti ini akan diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai dapat merasai manfaatnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd