aida_adilah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Status pelari pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee yang masih tidak berada dalam mana-mana program elit Majlis Sukan Negara (MSN) walaupun meraih dua pingat gangsa di Sukan Sea Thailand 2025 mengundang persoalan, namun atlet muda itu menegaskan perkara berkenaan tidak pernah mengganggu fokus utamanya di trek.
Danish berkata, dia menyerahkan sepenuhnya urusan pengurusan kepada bapanya Roslee Ismail yang juga jurulatih peribadi, sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada latihan dan pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kini menjadi pangkalan latihannya.
“Buat masa ini saya memang tak tandatangan apa-apa kontrak dengan MSN. Saya hanya ada kontrak dan menerima elaun dengan Sukma Johor (Majlis Sukan Negeri Johor-MSNJ).
“Saya tak ambil tahu sangat soal status atau kontrak sebab fokus saya cuma latihan dan pelajaran,” kata Danish ketika ditemui.
Menurut Danish, pendekatan itu adalah pilihan peribadi kerana dia tidak mahu perkara di luar trek menjejaskan tumpuan terhadap prestasi.
Atlet kelahiran Johor itu meraih pingat gangsa acara 100 meter (m) dengan catatan 10.26 saat (s) selain perak acara 4x100m bersama Alif Iman Fahmi, Jonathan Nyepa dan Pengiran Aidil Auf Hajam selepas mencatat masa 39.03s, selain meleburkan rekod kebangsaan 200m dengan catatan 20.73s.
Dia turut mencipta rekod peribadi terbaik 10.18s pada pusingan saringan 100m dan sebelum ini muncul juara Sukma Sarawak 2024 bagi acara 100m.
Sementara itu, bapanya memaklumkan setakat ini Danish hanya menerima tawaran menyertai Program Projek Larian 100 Meter Bawah 10 Saat (B10) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).
“Buat masa ini kami baru menerima tawaran Program B10. Belum ada tawaran rasmi daripada MSN dan mungkin ada kriteria tertentu yang perlu dipenuhi,” katanya.
Roslee turut menjelaskan Olahraga Malaysia dan MSN sebelum ini ada membantu menghantar Danish ke beberapa program dan kejohanan antarabangsa mengikut kesesuaian perancangan latihan serta jadual akademik.
Danish kini memberi tumpuan penuh kepada persiapan menghadapi Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat, Ogos depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



