Danish Iftikhar impi ke final Kejohanan Olahraga Dunia B-20 2026

Danish Iftikhar impi ke final Kejohanan Olahraga Dunia B-20 2026

Kuala Lumpur: Pelari pecut muda negara Danish Iftikhar Muhammad Roslee menyasarkan untuk mara ke pentas final acara 100 meter (m) lelaki pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) di Oregon, Amerika Syarikat yang dijadualkan dari 5 hingga 9 Ogos.

Bukan sahaja mengimpikan aksi di final pada penyertaan sulung kejohanan itu, Danish Iftikhar juga berharap dapat berlari di bawah 10.20 saat (s) sekali gus memperbaik catatan peribadi terbaik musim ini, iaitu 10.38s pada Kejohanan Olahraga Asia B-20 di Hong Kong pada Mei lepas.

“Saya menyasarkan catatan bawah 10.30s atau 10.20s dan akan menggunakan platform ini untuk mempamerkan prestasi terbaik saya,” katanya kepada pemberita di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pemenang pingat gangsa 100m lelaki Sukan SEA Thailand 2025 itu optimis mampu merealisasikan sasaran itu berdasarkan prestasinya pada Terbuka Malaysia 2026, Terbuka Kedah 2026 dan Terbuka Johor 2026.

Pelari berusia 19 tahun itu berkata penampilan di Oregon juga penting dalam mempersiapkan diri menghadapi dua lagi kejohanan utama tahun ini, iaitu Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dari 15 hingga 24 Ogos dan Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2026 dari 28 Ogos hingga 6 Sept.

Selain Danish Iftikhar, kem olahraga negara turut menghantar seorang lagi wakil bagi acara riben biru itu, iaitu Muhammad Ariel Iskandar Rusli.

Malaysia juga mempertaruhkan Avinaash Nair Sathiaseelan bagi acara 400m berpagar lelaki dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira yang akan membuat penampilan dalam acara 100m wanita.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top