Danwan Corporation sambut baik keputusan mahkamah tinggi

Danwan Corporation sambut baik keputusan mahkamah tinggi

KUALA LUMPUR: Danwan Corporation Sdn. Bhd. (Danwan) menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung semakan kehakiman substantif yang melibatkan struktur gantri pengiklanan luar milik syarikat yang terletak di Kilometer 32.9 Lebuhraya Persekutuan (arah Subang menuju Kuala Lumpur).

Danwan dalam satu kenyataan memberitahu, keputusan mahkamah tersebut mengesahkan  kesahihan rangka kerja infrastruktur berkenaan, dengan mengiktiraf bahawa gantri tersebut di dalam rizab jalan Persekutuan di bawah lesen sah yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya menurut Seksyen 85A Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pasukan perundangan Danwan telah mengemukakan pendirian bahawa pengawalselian struktur papan iklan di sepanjang Lebuhraya Persekutuan terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kerja Raya dan bukannya pihak berkuasa tempatan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pendirian ini dibuat berdasarkan keputusan mahkamah terdahulu yang melibatkan keadaan serupa, tetapi tidak sama sepenuhnya, serta pendirian yang diambil oleh Jemaah Menteri dan Kerajaan Negeri Selangor,” demikian menurut kenyataan itu.

Mengulas keputusan tersebut, Pengarah Pembangunan Perniagaan Danwan, Stanley Ho berkata, mereka berterima kasih atas penjelasan yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

“Prosiding kehakiman ini dijalankan semata-mata untuk mewujudkan pemahaman yang berautoriti mengenai sempadan bidang kuasa berkaitan rizab jalan Persekutuan dan undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan.

“Ia tidak pernah mencabat tadbir urus pihak berkuasa tempatan,” katanya.

“Melangkah ke hadapan, Danwan komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat dengan dengan semua pihak berkuasa kawal selia bagi memastikan struktur media luar kami terus menyokong aktiviti perdagangan awam dengan selamat, di samping diselaraskan secara harmoni dengan matlamat perancangan komuniti yang lebih menyeluruh,” kata Stanley.

Scroll to Top